Dalam kejadian kira-kira pukul 2.50 petang itu, seorang suri rumah warga tempatan berusia 66 tahun dikejutkan dengan insiden tersebut setelah terdengar bunyi bising di luar rumahnya.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din, setelah membaling botol kaca ke arah pintu pagar dan dinding rumah mangsa, keempat-empat lelaki terbabit kemudiannya melarikan diri menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima berwarna Perak.
“Siasatan awal terhadap wanita warga emas terbabit mendapati dia tidak pernah meminjam duit daripada mana-mana peminjam wang dan mengesyaki kejadian tersebut berkait dengan bekas suaminya.
“Suri rumah itu mengesyaki bahawa bekas suaminya menggunakan alamat rumah itu untuk membuat pinjaman wang,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Mohd. Zani menjelaskan, wanita warga emas dan bekas suaminya itu telah berpisah sejak tahun 1987.
Katanya, pihak polis sedang giat menjalankan siasatan bagi menjejaki keempat-empat lelaki terbabit berdasarkan bukti rakaman televisyen litar tertutup dan keterangan saksi.
“Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” ujarnya, memetik Utusan Online.