Empat Langkah Diperkenal KPM Atasi Isu Keciciran Murid

PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran (KPM) memperkenalkan empat langkah bagi menangani isu keciciran pembelajaran menerusi Intervensi Kurikulum Murid Tahun Satu.

Empat langkah berkenaan adalah Dokumen Penjajaran Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) (Semakan 2017) Edisi 3; Pengesanan Awal Literasi dan Numerasi; Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang mesra ibu bapa dan Penataran Dokumen Penjajaran KSSR (Semakan 2017) Edisi 3.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata langkah itu diambil susulan maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk ibu bapa yang merupakan antara sumber maklumat penting dalam pembangunan kurikulum.

“KPM juga mengambil pendekatan untuk melihat ke hadapan, terutamanya dalam rangka persediaan pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 yang memberi tumpuan kepada penguasaan literasi, numerasi dan pembentukan karakter.

“Bagi menangani kesemua isu terbabit, KPM mengambil inisiatif melaksanakan intervensi berkenaan dengan menyediakan Dokumen Penjajaran KSSR (Semakan 2017) Edisi 3 bagi mata pelajaran Sains dan Matematik Tahap Satu yang akan digunakan mulai Sesi Akademik 2024/2025,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata penjajaran kurikulum berkenaan membabitkan pengemaskinian dan penyusunan semula kandungan mata pelajaran Sains dan Matematik Tahap Satu sedia ada.

“Dokumen Penjajaran KSSR (Semakan 2017) Edisi 3 itu disediakan sebagai pilihan kepada guru dalam pelaksanaan kurikulum sekolah rendah dan boleh digunakan bersama-sama Modul Bimbingan Sains dan Matematik Tahap Satu.

“Dokumen penjajaran bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris akan menyusul,” katanya.

Beliau berkata, langkah seterusnya adalah pengesanan literasi dan numerasi murid Tahun Satu yang bertujuan untuk mengenal pasti murid yang belum menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira serta memerlukan intervensi awal yang bersesuaian dengan kebolehan, keupayaan dan gaya pembelajaran mereka.

“Pengesanan awal melalui Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dilaksanakan selepas murid mengikuti persekolahan selama tiga bulan.

“Selain itu pelaporan PBD yang mesra ibu bapa juga diperkenalkan dimana laporan tahap penguasaan PBD dipermudahkan manakala pelaporan tahap penguasaan Ujian Akhir Sesi Akademik bagi semua mata pelajaran akan ditukar dalam bentuk peratus dan gred.

“Pelaporan PBD itu juga boleh diakses oleh ibu bapa secara dalam talian melalui Sistem Pengurusan Pentaksiran Bersepadu,” katanya.

Katanya, langkah keempat yang diambil oleh KPM adalah penataran Dokumen Penjajaran KSSR (Semakan 2017) Edisi 3 akan disebarluaskan kepada semua guru mata pelajaran Sains dan Matematik sekolah rendah melalui penganjuran bengkel dan latihan.

“KPM amat menghargai keprihatinan dan pandangan ibu bapa serta masyarakat terhadap kurikulum persekolahan sedia ada.

“KPM juga memandang serius terhadap kegusaran yang diutarakan seperti aras kurikulum yang tinggi, kandungan kurikulum kurang sesuai dengan usia murid, pelaporan PBD sukar difahami dan ibu bapa tiada akses untuk mendapatkan pelaporan berkenaan

“Agenda reformasi pendidikan KPM memastikan tambah baik yang berterusan untuk meningkatkan kualiti demi manfaat semua murid,” katanya. -Berita Harian Online

Related Articles