Elak Manipulasi, Bernas Digesa Tetapkan Harga Siling Beras Putih Tempatan

KUALA LUMPUR: Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) digesa menetapkan satu harga siling bagi beras putih import (BPI) bertujuan mengelak ia dimanipulasi oleh pengilang serta pemborong.

Pengerusi Pasukan Petugas (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, berkata harga BPI tidak menentu dalam pasaran kini adalah disebabkan pemain industri meletak harga mengikut jenama yang dikeluarkan.

Malah, beliau berkata, harga sekampit BPI untuk 10 kilogram (kg) dijual hingga mencecah RM65, dan ia seakan tidak masuk akal memandangkan gred BPI adalah sama saja tidak kira diimport, termasuk dari India atau Pakistan.

“Kecualilah jenis beras itu dibezakan mengikut berapa peratus beras hancur yang ada di dalam sekampit beras itu.

“Justeru, BERNAS selaku pengimport tunggal, perlu mengambil tanggungjawab untuk menjelaskan mengapa perbezaan harga ini berlaku dan rakyat perlu maklum,” katanya kepada BH, di sini, hari ini.

Semalam, laporan sebuah portal memetik Syed Abu Hussin Hafiz menggesa BERNAS menjelaskan kekeliruan berikutan adanya pelbagai jenis BPI dalam pasaran dengan harga berbeza.

Mengulas lanjut, Syed Abu Hussin Hafiz menjelaskan, harga kos sekampit beras 10kg adalah RM30 selepas BERNAS bersetuju mengurangkan harga BPI kepada RM3,000 satu tan, selain ditambah upah pembungkusan dan penghantaran RM4 serta peruncit mengambil keuntungan RM1.

“Harga asal sepatutnya ialah RM37 tetapi kerajaan bersetuju mengurangkan RM2 sekampit. Oleh itu, sepatut harganya ialah RM35 selepas mengambil kira kos dan keuntungan pada setiap peringkat lapisan pemain industri ini.

“Justeru, BERNAS perlu memaklumkan jenis beras yang dibeli rakyat dan menetapkan harga siling untuk mengelak kekeliruan sedangkan beras yang dibeli semua adalah sama saja grednya,” katanya. -Berita Harian

Related Articles