PETALING JAYA: Takungan air di Empangan Timah Tasoh (ETT), Beseri dijangka hanya dapat bertahan tiga bulan lagi disebabkan cuaca panas di Perlis akibat fenomena El Nino.
Exco Perlis Izizam Ibrahim bagaimanapun berkata, takungan air itu masih dalam keadaan baik dan belum ada rancangan melaksanakan catuan air atau pembenihan awan di kawasan empangan.
“Sehingga hari ini, bacaan paras air di empangan berkenaan pada 28.57m atau 25.5 juta liter padu, di mana baki keseluruhan takungan air di ETT sekitar 84%.
“Paras berkenaan menunjukkan penurunan daripada paras normal ETT, iaitu 29.1m dan berdasarkan pemerhatian setiap hari, purata penurunan air di empangan ini sekitar 0.02m,” katanya menurut Harian Metro.
Berdasarkan semakan, beliau berkata paras air ETT mampu bertahan tiga bulan atau 90 hari lagi, bergantung kepada keadaan cuaca semasa.
Buat masa ini, katanya, bekalan air di ETT masih disalurkan untuk kegunaan domestik dan pengairan sawah.
“Sekiranya tiada hujan serta pengairan air tetap dilakukan bagi sektor domestik dan pertanian, maka tidak mustahil bekalan air sedia ada ini akan terus turun hingga paras bahaya sekitar 25.3m,” katanya yang berharap hujan akan turun dalam masa terdekat supaya paras air ETT tidak merosot ke paras kritikal 27.10m.
Cuaca panas sedang melanda negeri di utara Semenanjung Malaysia, termasuk Perlis. -Harian Metro