SHAH ALAM: Melibatkan jarak kira-kira 400 kilometer, ekspedisi selama empat hari bermula dari Pekan Riverfront hingga Tanjung Gahai, Lipis.
Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang 2024 diketuai Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang julung kali diadakan akan bermula hari ini hingga 6 Mac ini.
Melibatkan jarak kira-kira 400 kilometer, ekspedisi selama empat hari bermula dari Pekan Riverfront hingga Tanjung Gahai, Lipis itu, sekali gus melakar satu lagi sejarah bagi keluarga Diraja Pahang akan kegemilangan Sungai Pahang sebagai pengangkutan utama sejak zaman dahulu.
Menerusi ekspedisi ini, Tengku Hassanal akan menggunakan bot atau perahu kajang yang suatu ketika dahulu pernah menjadi pengangkutan awam penduduk negeri ini menjadikan sungai sebagai jalan perhubungan.
Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan selamat mengharungi cabaran ekspedisi buat Tengku Hassanal dan turut bertitah agar paduka anakanda menitikberatkan aspek keselamatan dengan sentiasa berwaspada sepanjang ekspedisi tersebut termasuk menjaga kesihatan dengan baik.
Kesultanan Pahang dalam hantaran di Facebook memaklumkan baginda berdua turut menitahkan supaya Tengku Hassanal sentiasa menyantuni rakyat jelata dan bertanya khabar serta melihat sendiri bagaimana rakyat menjalani kehidupan seharian.
“Paduka ayahanda dan paduka bonda mendoakan ekspedisi ini berjalan dengan lancar dan dipermudahkan sekali gus dapat membuka ruang kepada paduka anakanda untuk menghayati keindahan alam, mengimbau sejarah dan warisan kegemilangan sungai Pahang serta menyantuni rakyat jelata di sepanjang Sungai Pahang.
“Almarhum Sultan Abu Bakar di zaman pemerintahan sememangnya terkenal sebagai seorang sultan yang berjiwa rakyat.
“Salah satu aktiviti tahunan baginda semasa hayatnya ialah menyusuri Sungai Pahang dan Sungai Tembeling untuk bertemu dan beramah mesra dengan rakyat jelata di seluruh negeri Pahang,” menurut hantaran itu.
Begitu juga dengan Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah yang memerintah Pahang bagi tempoh 33 tahun dari 16 Ogos 1881 hingga 9 Mei 1914, baginda menjelajah seluruh Pahang menerusi Sungai Pahang dan menaiki gajah.
Menerusi ekspedisi tersebut, Tengku Hassanal akan merentasi daerah Pekan, Maran, Bera, Temerloh, Jerantut dan Lipis melalui sungai sebelum menyantuni rakyat dengan beberapa pengisian program antaranya sesi perkhemahan di Tapak Rumah Warisan Chenor, Maran dan Kampung Gintong, Jerantut serta pelbagai acara sukan, kenduri rakyat dan penyampaian bantuan.
Ekspedisi ini melibatkan18 buah bot dan 150 peserta terdiri daripada pasukan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Tourism Pahang. – Bernama