Edar dadar, mekanik dijatuhi hukuman gantung

Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan.

“Pihak pendakwaan juga berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Justeru, saya tiada jalan lain kecuali menjatuhi hukuman gantung sampai mati terhadap tertuduh,” katanya.

Tertuduh, Ong Tee Hong, 37, dari Kampung Tengah, di sini, kelihatan tenang ketika hakim membuat keputusan tersebut.

Terdahulu, tertuduh didakwa mengedar 77.74 gram dadah berbahaya jenis heroin di dalam kereta Perodua Viva berdekatan dengan Kampung Rhu Renggeh, Marang, pada jam 10.45 pagi, 11 Disember 2013.

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Abd Rahman manakala tertuduh diwakili peguam bela Kamaruzzaman.

Sebelum ini, tertuduh turut berdepan empat lagi pertuduhan kerana memiliki 37.33 gram phenazepam yang merupakan kesalahan di bawah Akta Racun 1952, selain didakwa memiliki 0.98 gram heroin, 1.25 gram methamphetamine dan 1.02 gram heroin iaitu satu kesalahan di bawah Seksyen 12 (2) ADB 1952.

Sinar Harian sebelum ini ada melaporkan taktik seorang pengedar dadah menyembunyikan dadah jenis heroin di dalam seluar dalam dipakainya bagi mengaburi mata pihak berkuasa gagal susulan penemuan pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM27,000 dalam serbuan di tepi Jalan Rhu Renggeh, Jalan Kuala Terengganu-Marang.

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang hasil maklumat dan risikan mengenai sindiket pengedaran dadah sebelum membawa kepada penahanan suspek yang juga seorang mekanik.

Related Articles