Edar dadah, bapa 10 anak terima hukuman penjara seumur hidup

TAWAU: Bapa kepada 10 anak dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Tinggi Tawau hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 171.2 gram, dua tahun lalu.

Hakim Duncan Sikodol membuat keputusan itu terhadap Talib Akmad, 60, dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan iaitu pada 5 Jan 2022, menurut Berita Harian.

Mahkamah juga memutuskan tertuduh dikecualikan daripada hukuman sebatan disebabkan faktor umur tertuduh yang berusia 60 tahun.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine di kawasan ‘pot’ pengedaran dadah Kampung Air, Lahad Datu, kira-kira jam 4.39 tengah hari, pada 5 Januari 2022.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup, dan hendaklah jika tidak dijatuhkan hukuman mati, dihukum dengan tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Hurman Hussain mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinke.

Terdahulu, Kamarudin dalam rayuan mitigasinya memohon mahkamah tidak menjatuhkan hukuman mati terhadap anak guamnya kerana tertuduh mempunyai dua isteri dan 10 anak.

Katanya, berdasarkan pemansuhan akta hukuman mati mandatori 2023, pihaknya memohon mahkamah menggunakan budi bicara untuk menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup.

“Selain itu, Seksyen 289 Kanun Prosedur Jenayah lelaki berusia 50 tahun ke atas tidak boleh disebat. Trend hukuman di Borneo juga terutama bagi kes yang sama beratnya dengan kes ini, hukuman cenderung memihak kepada hukuman penjara seumur hidup sebagaimana mengikut Seksyen 3, Akta Keadilan Jenayah 1953 (Akta 345),” katanya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tindakan penghantaran pulang ke negara asal sebaik selesai menjalani hukuman.

Related Articles