Dunia Mahu Misteri MH370 Dirungkai, Kos Tidak Seharusnya Jadi Isu

PUTRAJAYA: Kos untuk memulakan semula siasatan dan mencari pesawat MH370 milik Malaysia Airlines tidak seharusnya menjadi isu kerana dunia mahu merungkai misteri di sebalik tragedi penerbangan itu.

Bekas ketua juruterbang Serantau MAS (Malaysia Airlines), Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain, berkata Malaysia sebenarnya boleh menggunakan perkhidmatan dan kepakaran sebuah syarikat robotik marin berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), yang menawarkan cadangan ‘tiada penyelesaian, tiada bayaran’ dalam mencari MH370 sebelum ini.

“Kos tak sepatutnya menjadi isu kerana kita mahu merungkai apa sebenarnya yang berlaku ke atas pesawat ini dan lagi pun, syarikat terbabit, Ocean Infinity Ltd sudah memberi cabaran kepada Malaysia, mereka kata sanggup cari dan jika tak jumpa, Malaysia tak perlu bayar.

“Namun, tawaran seperti ini, kita perlu berjaga-jaga kerana ia seperti kita beri lesen kepada orang untuk bina rumah kita, apabila sudah siap, mereka letak pelbagai kos,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia bersedia membuka semula siasatan berhubung insiden kehilangan pesawat bagi penerbangan MH370 Malaysia Airlines hampir sedekad lalu, sekiranya ada bukti baharu dan kukuh.

“Saya dengan sukacita bersedia membuka semula kes ini. Ia ialah isu yang memberi kesan terhadap kehidupan rakyat dan apa sahaja yang perlu dilakukan, harus dilakukan,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese di Melbourne sempena lawatan rasmi beliau ke negara berkenaan.

Mengulas lanjut, Nik Ahmad Huzlan berkata, kesediaan Malaysia seperti yang dinyatakan Perdana Menteri itu menunjukkan dunia tidak pernah sesekali melupakan MH370.

“Kenyataan untuk memulakan pencarian jika ada bukti kukuh, tepat dan sahih ini, bukan satu perkara baharu dan saya memang menantikan bila pencarian semula ini dilakukan.

“Masa kita mencari dahulu, hanya samar-samar membabitkan lokasi pesawat itu jatuh, dua kali kita cari dan dua kali itu juga gagal, jadi saya melihat apa yang Perdana Menteri cakap itu mungkin beliau sudah ada bukti kukuh,” katanya.

Pada 2017, Menteri Pengangkutan ketika itu, Datuk Seri Liow Tiong Lai, memaklumkan anggaran perbelanjaan kerajaan dalam misi mencari MH370, mencecah RM456 juta.

Tiong Lai dilaporkan berkata, kos terbabit merangkumi keluasan pencarian seluas 120,000 kilometer persegi di Lautan Hindi yang selesai dilaksanakan dan digantung pada 17 Januari 2017.

Penerbangan MH370 Malaysia Airlines, yang membawa 239 penumpang dan kru, hilang daripada radar pada 8 Mac 2014 ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing. -Berita Harian Online

Related Articles