Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata dunia Islam perlu menolak campur tangan asing, memandangkan ia jelas menjurus kepada kemusnahan seperti yang berlaku di banyak negara.
Beliau berkata dunia Islam mesti jelas menolak campur tangan, yang biasanya berasaskan maklumat yang tidak lengkap, salah dan berpihak.
“Kita mesti menolak mereka yang bermotifkan politik, menggesa kuasa asing ini untuk campur tangan dalam negara mereka sendiri.
“Kita sebagai ummah, akan bertanggungjawab ke atas diri sendiri, dan berdoa untuk diberi panduan dalam usaha itu,” katanya dalam ucapan khas pada pembukaan Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) ke-12 di Jakarta hari ini.
Forum itu bertemakan ‘Menyebarluaskan Pertumbuhan, Memperkasa Perniagaan Masa Depan’ dirasmikan oleh Presiden Indonesia Joko Widodo.
Turut hadir Pengerusi Yayasan WIEF, Tun Musa Hitam.
Indonesia menganjurkan WIEF ke-12 buat kali kedua selepas 2009. Forum-forum sebelum ini berlangsung di Malaysia, Kazakhstan, Indonesia, Kuwait, Pakistan, United Kingdom dan Emiriah Arab Bersatu.
Najib menekankan bahawa campur tangan asing di negara Islam telah mencetuskan akibat seperti yang dikehendaki dan tidak dihajati, yang impaknya masih terasa sehingga hari ini.
Secara perbandingan, beliau berkata kebanyakan negara Islam seperti Malaysia dan Indonesia, yang tidak terlibat dengan campur tangan asing, merupakan oasis yang aman dan stabil.
“Atas sebab itu pemimpin dunia Islam mesti berusaha untuk menyelesaikan masalah dan isu bersama-sama.
“Saya sentiasa menyokong dunia yang terbuka dan kerjasama. Namun kita mesti tekankan kedaulatan negara kita, undang-undang kita dan kerajaan yang dipilih secara demokrasi,” kata Najib.
Beliau berkata tanpa kestabilan politik, ekonomi tidak akan makmur dan berlaku huru-hara dalam dunia Islam sejak kebelakangan ini.
Najib berkata penaklukan Iraq khususnya mencetuskan rantaian kemusnahan.
“Huru-hara, kemusnahan dan kemungkinan negara berpecah berlaku di negara seperti Iraq, Syria dan Libya.
“Arab Spring mencetuskan ketidakstabilan di seluruh rantau itu. Beribu-ribu terkorban, manakala pengganas dan militia bersenjata bebas bergerak di negara yang sebelum ini selamat. Konflik mazhab tercetus,” katanya.
Sambil mengambil peluang itu untuk bercakap terus kepada 2,500 perwakilan dari lebih 100 negara, Najib juga mengulangi bahawa Malaysia tegas ke atas Daesh dan penyokongnya, di dalam dan di luar negara.
Atas sebab ini, beliau berkata Malaysia mewujudkan Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej melalui Komunikasi di Kuala Lumpur, yang akan beroperasi tidak lama lagi.
“Kami akan berkongsi kepakaran dalam pencegahan radikal, dan membantu mengembalikan wanita dan lelaki yang terpengaruh dengan pergerakan ini, kumpulan bukan Islam.
“Kami akan bersungguh-sunggu dalam usaha ini, kerana ia membimbangkan kita semula,” katanya.
Najib juga berkata Malaysia juga berhadapan dengan Daesh, pengganas yang yang mengkufuri Islam dengan mendakwa memperjuangkan negara Islam.
“Kumpulan ini bukan memperjuangkan Islam dan oleh itu negara majorti Islam mesti mengetuai usaha mengutuk mereka.
“Kita mesti memerangi pembohongan mereka dengan kesucian sebenar Islam. Kita mesti menentang sepenuh hati usaha mereka membohongi golongan muda dan memanfaatkan yang terpengaruh dan sesat.
“Kita mesti memastikan penyedaiaan perundangan bersesuaian bagi membolehkan perkhidmatan keselamatan mengambil langkah perlu untuk menyekat serangan sebelum ia berlaku. Punca yang menghapuskan mereka yang menyebarkan ketakutan dan huru-hara di negara kita.
Mengakhiri ucapannya Najib berkata beliau yakin forum WIEF ini berbincang Islam sebenar dalam dunia Islam.
“Islam yang tulin bermakna Islam yang sederhana,” katanya.
Forum itu memberi tumpuan antara lain topik penting berkaitan sukuk, pembangunan infrastruktur, industri halal, memperkasakan wanita dan teknologi. – Bernama