Menurut sumber, Majlis Presiden Pakatan Harapan akan mengadakan pertemuan pada hari ini untuk memuktamadkan pembubaran DUN Pulau Pinang seperti yang dirancang oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
“DAP Negeri telah bersetuju untuk membuka bilik gerakan diperingkat negeri dan setiap DUN dalam masa terdekat.
“Satu mesyuarat khas akan dibuat sebaik sahaja Majlis Presiden buat keputusan,” kata sumber dalaman parti itu.
Sumber turut menjelaskan bahawa pimpinan DAP Pulau Pinang terpaksa akur dengan keputusan yang dibuat oleh pimpinan pusat DAP yang telah bersetuju dengan cadangan Guan Eng untuk mengadakan PRN lebih awal.
Tambahnya lagi, keputusan muktamad bergantung kepada rundingan dengan PKR yang masih lagi belum membuat sebarang keputusan berbanding Parti Amanah Negara (PAN) yang sudah menyatakan persetujuan mengenai cadangan itu.
Guan Eng sebelum ini mendesak supaya PKR bersetuju dengan cadangannya untuk mengadakan PRN di Pulau Pinang seperti mana yang dilakukan oleh DAP yang ‘terpaksa bersetuju’ dengan dengan tindakan PKR sebelum ini untuk mengadakan PRK di kawasan parlimen Permatang Pauh dan DUN Penanti di Pulau Pinang serta Kajang di Selangor.
“Saya rayu pemimpin PKR, bukan pemimpin di sini, tetapi yang lagi atas (Pusat), buatlah keputusan bersama walaupun saya tahu mereka takut kurang kerusi,” katanya dalam majlis penerangan Kerajaan Pulau Pinang yang bertajuk “Masa Depan Pulau Pinang” di Georgetown.