Dua remaja hilang dibawa ombak besar

Kejadian kira-kira pukul 4.15 petang itu berlaku ketika mangsa, Azim Hanizam, 14, dan Amir Azfa Rafar, 13, dikatakan mandi bersama dua rakannya Mohd. Firdaus Mustafa, 16, dan Amir Sahir Zakimi, 13, di kawasan tersebut.

Bagaimanapun Azim yang berasal dari Kampung Nering dan Amir Azfa dari Selising dekat sini dihanyutkan arus deras selepas dihempas ombak besar manakala dua lagi rakannya sempat menyelamatkan diri.

Pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Penolong Penguasa Bomba Azhar Elmi Mustofar berkata, kesemua remaja tersebut datang ke pantai itu dengan menaiki tiga buah motosikal untuk mandi.

“Hasil temubual saksi mendapati kejadian tersebut berlaku selepas 15 minit mereka berada di dalam air manakala Bilik Gerakan Bomba Pasir Puteh menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 4.30 petang dan gerakan mencari dijalankan bermula pukul 4.53 petang.

“Keadaan ombak besar dan laut bergelora menyukarkan usaha pencarian yang dijalankan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Azhar berkata, gerakan mencari disertai 50 anggota daripada pelbagai agensi penyelamat yang melibatkan pemantauan kawasan sepanjang dua kilometer pada malam ini.

Sementara itu, Amir Sahir berkata, dia hanya mampu melihat tangan dua rakannya terkapai-kapai sebelum tenggelam dibawa arus dalam sekelip mata.

“Saya terpaksa menyelamatkan diri kerana berhadapan dua keadaan yang cemas iaitu hempasan ombak besar dan tarikan arus yang deras di permukaan pantai itu.

“Saya masih terbayang-bayang bagaimana keadaan itu menyebabkan Azim dan Amir Azfar hilang,” katanya sambil memberitahu Mohd. Firdaus dikejarkan ke Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh selepas mendakwa sesak nafas dan keletihan.

Dalam pada itu, ibu Amir Azfa, Siti Zuraida Mohd. Jawas, 45, berkata, anaknya yang juga pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Ismail keluar dari rumah selepas waktu zohor apabila dijemput seorang rakannya.

“Dia hanya sempat bersalam dan mencium tangan saya tanpa memberitahu tujuannya bersama rakan yang saya tidak kenali. Saya tidak menduga musibah ini berlaku sehingga mendapat panggilan telefon daripada anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang memaklumkan kehilangannya pada pukul 5 petang,” ujarnya memetik Utusan Online.

 

Related Articles