Dua rakyat Malaysia cedera serangan di Karak, Jordan

Menurut kenyataan Wisma Putra hari ini, kedua-dua mereka telah menerima rawatan di hospital berdekatan dan kini dilaporkan berada dalam keadaan selamat.

“Dalam kejadian tembak menembak ini, beberapa kecederaan telah dilaporkan termasuk kematian seorang pelancong dari Kanada dan beberapa orang anggota polis Jordan.

“Sekumpulan 20 pelancong dari Malaysia yang turut berada di tempat kejadian di Karak Castle telah berjaya diselamatkan oleh pasukan keselamatan Jordan dan kini sedang diberi perlindungan dan bantuan oleh pihak berkuasa Jordan.

“Seramai dua orang warganegara Malaysia daripada kumpulan tersebut yang tercedera telah menerima rawatan di hospital berdekatan dan dilaporkan selamat,” memetik kenyataan tersebut.

Menurut kedutaan juga, mereka telah berhubung dengan pihak berkuasa Jordan dan mengesahkan kesemua pelancong Malaysia dalam keadaan selamat.

Selain itu, rakyat Malaysia terutama para pelajar di Universiti Mu’tah berhampiran Bandar Karak dinasihatkan untuk mematuhi arahan keselamatan oleh pihak berkuasa dan kedutaan.

Setakat kini, tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab ke atas serangan tersebut.

Related Articles