Dua penjenayah diberkas selepas dikejar 40KM

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 petang itu, seorang lagi suspek dapat meloloskan diri dan usaha memburunya giat dijalankan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, sebelum kejadian, kesemua suspek yang menaiki kereta Proton Saga dilihat berada dalam keadaan mencurigakan oleh anggota kereta peronda di Jalan Chow Kit.

Menurutnya, anggota kereta peronda terbabit telah mengarahkan kereta itu berhenti, namun mereka terus memecut kenderaan memasuki Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) menghala ke arah selatan.

“Dengan bantuan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Polis Daerah Sentul, kesemua suspek terus dikejar sehingga ke Plaza Tol Bandar Bukit Mahkota dan menyuruh mereka berhenti bagaimanapun arahan itu tetap tidak diendahkan.

“Malah mereka juga terus menghimpit kenderaan anggota peronda sebelum beberapa das tembakan dilepaskan anggota kereta peronda dan mengenai kereta suspek,” katanya, memetik laporan Utusan Online.

Mengulas lanjut, Zainol memberitahu, akibat daripada tembakan itu, kereta yang dinaiki kesemua suspek terbabas dan dua daripada mereka berjaya diberkas.

“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan suspek, kita menemukan 30 peket dadah disyaki heroin serta sepeket syabu dan ganja.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi memburu seorang lagi rakan mereka dan hasil semakan mendapati, salah seorang suspek yang ditahan merupakan orang dikehendaki bersabit kes jenayah di Dang Wangi,” ujarnya. 

Related Articles