Dua murid dibuli pelajar UPSR

Dua mangsa berkenaan merupakan seorang murid tahun dua dan murid tahun tiga itu mendakwa kejadian tersebut berlaku beberapa bulan lalu namun mereka mendiamkan diri kerana takut untuk mengadu kepada keluarga mahupun cikgu sekolah.

Namun begitu, perbuatan membuli murid senior ke atas dua rakan sekolahnya itu menjadi-jadi apabila mangsa-mangsa kemudian dipaksa mengutip dan menjual besi buruk pada Rabu lalu.

Murid senior dan dua mangsa buli itu tinggal di taman perumahan sama dekat Pengkalan Chepa. Pada hari kejadian ketiga-tiga pelajar itu tidak pergi ke sekolah.

Rahsia murid tahun dua dan tahun tiga berkenaan menjadi mangsa buli rakan sekolah yang tinggal berjiran itu terbongkar selepas mereka pulang lambat pada pukul 6.30 petang pada Rabu lalu.

Ibu kepada murid tahun dua yang hanya mahu dikenali sebagai Faidah memberitahu, pada hari kejadian, anaknya seperti biasa meminta wang belanja RM1 untuk ke sekolah namun pada hari tersebut dia dan rakannya tidak pulang ke rumah sehingga lewat petang.

“Saya yang bimbang menyuruh seorang lagi anak mencari anak bongsu saya daripada enam beradik itu kerana sebelum ini dia tidak pernah pulang lewat,” ceritanya, memetik laporan Kosmo Online.

 

Related Articles