Dua Lelaki Buat Kecoh Depan Masjid, Serang Penguatkuasa

ALOR SETAR: Tanpa mempedulikan kesucian Ramadan serta bacaan ayat suci al-Quran yang berkumandang dari Masjid Negeri Kedah, Masjid Zahir, beberapa individu menimbulkan kekecohan, malah dilihat terjerit-jerit dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada pihak berkuasa ketika operasi sitaan peniaga di Dataran Medan Bandar malam kelmarin.

Dalam kejadian yang tular di media sosial itu, individu terlibat turut beberapa kali mencabar anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) untuk membuka pakaian seragam mereka, selain bertindak menyepak tong sampah di lokasi itu yang terletak betul-betul di hadapan Masjid Zahir.

Padahnya, dua lelaki yang juga peniaga berusia 33 dan 42 tahun, akhirnya ditahan polis kerana disyaki menghalang penjawat awam melaksanakan tugas.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 11.38 malam ketika pembantu penguatkuasa MBAS membuat operasi sitaan peniaga di kawasan berkenaan.

“Tugas mereka kemudiannya dihalang oleh dua individu yang mencetuskan kekecohan dan pergelutan sebelum dapat dileraikan. Laporan polis telah dibuat dan kedua-dua individu berkenaan kemudiannya ditangkap petang semalam bagi membantu siasatan.

“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menghalang penjawat awam yang menjalankan tugas,” katanya ketika dihubungi Getaran.

Dalam pada itu sumber MBAS memaklumkan, kawasan tersebut sememangnya menjadi kawasan larangan untuk sebarang perniagaan.

“Terdapat papan tanda besar yang memaklumkan mengenai larangan tersebut di kawasan itu. Malah, notis mengenainya telah dikeluarkan sejak 2022 termasuk di laman media sosial dan masih terpakai hingga kini.

“Laporan polis telah dibuat berhubung kejadian itu dengan siasatan terhadapnya sedang dijalankan oleh pihak berkuasa berkenaan,” katanya. – Getaran

Related Articles