Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata hasil siasatan mendapati kedua-dua mangsa itu dipercayai berada bersama-sama dengan tiga lagi rakan mereka sebelum ditemui mati.
Katanya, berdasarkan maklumat ayah kepada seorang mangsa, polis menahan dua rakan mangsa, masing-masing berusia 19 tahun pada Selasa dan sedang mengesan seorang lagi berusia 20-an.
Sebelum kejadian, ayah mangsa itu ternampak kelibat rakan-rakan anaknya itu di kawasan berkenaan, katanya kepada pemberita, Jumaat.
Katanya, setakat ini, polis masih mengklasifikasikan kes terbabit sebagai mati mengejut dan kematian disebabkan strok haba atau kepanasan melampau dalam kenderaan, berdasarkan pengesahan pakar perubatan.
Isnin lepas, polis menerima laporan mengenai penemuan mayat dua remaja tersebut daripada orang awam, dalam kereta Perodua Kelisa di hadapan sebuah rumah di Kampung Panchor, Kemumin, pada pukul 5.55 pagi.
Siasatan awal mendapati tiada sebarang kecederaan terhadap mangsa, Mohamad Sharul Nizam Hasbullah dari Kampung Gertak Sagu dan Nik Muhammad Hafiz Nik Zamzam dari Kampung Panchor. – Bernama