Dua ahli kumpulan Geng 21 Japan didakwa

Tertuduh, Law Koon Ding, 44, dan S Elango, 37, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias.

Bagaimanapun, pada prosiding mahkamah tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh itu.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa menjadi ahli kumpulan Geng 21 Japan di Wilayah Iskandar, antara 18 Januari hingga 19 Ogos 2015.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Kes itu akan dibicarakan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di Johor Bahru, pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Chen Lee Lee, manakala Koon Ding diwakili peguam Anwar Raos.

Pada 21 Julai tahun lalu, lapan ahli kumpulan Geng 21 Japan itu termasuk ketuanya yang bergelar Datuk dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Johor Bahru, atas pertuduhan yang sama.

Related Articles