PETALING JAYA: Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menyifatkan gesaan boikot terhadap KK Mart susulan isu penjualan stoking tertera kalimah Allah bukan pembulian, sebaliknya satu bentuk ‘pembelaan terhadap agama’.
Dalam laporan FMT hari ini, Tajuddin Rasdi dari Universiti UCSI berkata Akmal tidak akan sampai kepada tahap menuntut permohonan maaf daripada China berhubung isu itu seperti mana dikatakan Ahli Parlimen Tuaran Wilfred Madius Tangau, mengambil kira bekalan stoking tersebut dikeluarkan di negara berkenaan.
Tajuddin berkata, pembuli sentiasa akan membuli orang lebih lemah, selain mendakwa Akmal tidak mempedulikan akibat mahupun kebajikan pekerja KK Mart.
“Taikun-taikun ini lemah ke? Taikun-taikun ini miskin ke?
“Jadi, saya minta ahli akademik ini boleh membezakan antara pembuli dan pembela,” kata Akmal dalam catitan Facebook.
Beliau menegaskan pembela membawa maksud “memelihara orang yang lemah dari dibuli”.
“Kamu boleh cakap apa sahaja untuk menjaga taikun-taikun ini, tapi kamu tidak akan boleh menghalang rakyat di bawah untuk terus boikot menyatakan bantahan mereka.
“Jangan takut, saya hanya ada rakyat untuk dibela dan bukan taikun untuk dijaga,” katanya.
Bagaimanapun, Akmal tidak menyatakan sama ada akan menuntut permohonan maaf atau mendesak duta China dalam isu terbabit.
Kontroversi isu stoking tersebut tercetus selepas tular penjualannya di sebuah cawangan KK Mart di Bandar Sunway.
Susulan itu, pengurusan KK Mart dan syarikat pembekal telah memohon maaf, namun tidak diterima Akmal.
Semalam, Tangau berkata jika tindakan Akmal dibuat atas nama agama, justeru beliau sepatutnya menuntut permohonan maaf dari China kerana membenarkan pembekal dari negara itu mengeluarkan stoking tertera kalimah Allah.
Dalam catitan Facebook, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi mempertahan Akmal sambil berkata menjadi hak orang lain yang mahu memboikot.
Mendakwa cadangan Tangau menuntut permohonan maaf sebagai “dungu”, Puad berkata bekas presiden Upko itu sudah “mati akal”.
Hari ini, pengasas KK Mart dan pengarahnya didakwa di mahkamah kerana berniat melukakan perasaan agama orang lain dengan membekalkan stoking tertera kalimah Allah, manakala tiga pengarah Xin Jian Chang Sdn Bhd dituduh bersubahat. Semua tertuduh tidak mengaku salah.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 298 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. -Free Malaysia Today