DOJ ada hak untuk ambil tindakan

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kenyataan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin baru-baru ini berhubung tindakan DOJ ke atas individu-individu berkaitan 1MDB hanya menunjukkan kejahilan beliau dalam perihal undang-undang.

“Saman tersebut dilakukan ke atas beberapa individu yang diberi hak untuk mempertahankan diri mereka sendiri.

“Tiada pula Kerajaan Malaysia dikaitkan atau dikatakan bersalah,”katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, Khairy ketika berucap pada perhimpunan Puteri dan Pemuda Umno Sepang memaklumkan bahawa beliau akan mempertahankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap gesaan untuk beliau berundur.

Nik Nazmi berkata, DOJ hanya membentangkan fakta berdasarkan bukti terperinci dan sekiranya Putrajaya merasakan individu terlibat diberi layanan tidak adil, kerajaan hanya perlu menyangkal fakta-fakta tersebut dengan jelas.

“Ini boleh dilakukan, pertama sekali, dengan menjelaskan siapa sebenarnya Pegawai Malaysia Nombor 1 (Malaysian Official 1) yang telah dikaitkan tanpa nama, tetapi diterangkan dengan pelbagai cara,” katanya.

Selain itu, Nik Nazmi berpandangan bahawa rakyat negara ini sememangnya berhak untuk menerima penerangan terperinci dan telus daripada Kerajaan Malaysia berhubung fakta berkaitan dengan kes tersebut.

Tambah beliau, kerajaan seharusnya menjelaskan kesemua dakwaan tersebut dan rantaian kes kejadian itu secara keseluruhan. – Sinar Harian

Related Articles