Selesa dengan panggilan Coco, gadis berusia 19 tahun ini seringkali menjadi bahan kecaman orang ramai lantaran dianggap mengada-ngada.
Aksi cuba menjadi ‘minah saleh’ celup dengan percakapan gaya pelat hingga membuat orang meluat di media sosial, menyebabkan namanya tiba-tiba melonjak popular.
Begitu ramai yang melahirkan rasa meluat dan benci pada Coco, hal ini menyebabkan Coco juga terpaksa menggaji pengawal peribadi atas persetujuan suami dan keluarganya.
Bukan untuk menunjuk-nunjuk atau berlagak bagus, tetapi sebagai langkah keselamatan.
Ini kerana sukarnya menjadi seorang Coco, dia sering menerima ugutan rambang daripada orang yang tidak dikenali hampir setiap hari.
“Sebenarnya sebelum saya berkahwin lagi, suami sudah menyediakan bodyguard. Itu pun selepas saya menerima banyak ugutan liar termasuk ugutan simbah asid. Ia bukan satu perkara main-main atau satu jenaka, ia melibatkan soal keselamatan maka keputusan untuk menggaji bodyguard itu kami ambil.
“Saya tak nak orang salah faham dan katakan saya berlagak kaya atau apa. Ketika majlis pernikahan baru-baru ini juga hampir 13 pengawal peribadi saya bertugas. Itu pun jadi isu juga dan ada yang kecam saya. Cuba letak diri anda di tempat saya, mungkin anda pun bimbang,” katanya memetik wawancara bersama akhbar Utusan Online.
Menurutnya, sesekali dia terpaksa keluar rumah dengan memakai topeng muka kerana bimbang mengenai keselamatan diri. “Macam saya katakan, saya dah hilang privasi itu.
Pergi mana-mana pun orang akan pandang, dan ia membuatkan kita tidak selesa. Sebab itulah saya tak pernah terima sebarang tawaran lakonan atau apa kerana saya tak berminat nak jadi anak seni.
“Populariti yang sekarang pun sudah menyebabkan saya hilang privasi, bagaimana pula andai saya jadi artis? Tak mungkinlah. Saya mohon maaf terpaksa menolak banyak tawaran berlakon. Terus-terang saya lebih minat dunia bisnes,” ujarnya.