Modus operandi push-pocket adalah memasukkan barang tertentu seperti telefon bimbit atau dompet ke poket mangsa di tempat-tempat sesak tanpa disedarinya.
Pemeras ugut ini kemudian bersama seorang ‘saksi’ akan mendekati mangsa dan menuduhnya mencuri barang berkenaan sambil membuat kecoh.
Suspek seterusnya menawarkan kepada mangsa untuk menyelesaikan kes itu jika membayar sejumlah wang, atau kes itu diadukan kepada polis.
Sesetengah mangsa yang ketakutan setuju membuat bayaran.
Kisah mengenai kegiatan itu menjadi viral di laman sosial dan warga asing yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL dan pengguna di stesen LRT sering menjadi mangsa.
Di lapangan terbang suspek selalunya meletakkan barang-barang miliknya ke dalam troli bagasi mangsa tanpa disedari mangsa.
Khalid menasihatkan mangsa agar tidak takut malah membiarkan pemeras ugut itu mengadu kepada polis dan ikut sama ke balai berdekatan.
“Sekiranya ada yang mendatangi anda dan menuduh anda mencuri barangan milik mereka, jangan takut tetapi bawalah mereka ke balai polis berhampiran.
“Jangan cuba untuk menyelesaikan perkara itu sendiri kerana mereka pasti tidak akan berani untuk ke balai polis,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Rusdi Mohd Isa berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima laporan mengenai kejadian itu.
“Semakan di daerah Dang Wangi dan Brickfields mendapati tiada kes berkenaan dilaporkan kepada polis oleh orang awam,” katanya. – Bernama