Ditawar duit kopi RM2 juta sebulan

Musa berkata, beliau bagaimanapun menolak tawaran tersebut sebaliknya bertindak lebih agresif terhadap aktivi perjudian, pelacuran, dadah dan pinjaman wang haram dan jenayah kongsi gelap.

“Bayangkan duit kopi Ketua Polis Negara RM2 juta sebulan, tapi saya tidak terima. Mereka ditangkap dan dituduh di mahkamah di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1997.

“Saya tidak tahulah sama ada budaya duit kopi diteruskan atau tidak selepas perkhidmatan saya,” katanya, selepas Seminar Integriti dalam Perkhidmatan Awam dan Majlis Penutup Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Siri 16 dan 17, semalam.

Memetik laporan Sinar Online, Musa berkata, pihaknya juga terkejut dengan pembongkaran Suruhanjaya Pencegahan rasuah Malaysia (SPRM) berhubung skandal rasuah dan penyalahgunaan kuasa melibatkan projek infrastruktur di Sabah yang bernilai RM3.3 bilion.

Tambahnya, SPRM telah melakukan tanggungjawab mereka dengan baik sehingga skandal rasuah terbesar tersebut berjaya ditumpaskan.

“Saya harap usaha ini akan berterusan dan jangan ada lagi mana – mana kakitangan kerajaan yang terlibat. Ia memalukan,” katanya.

Musa berkata, penjawat awam terutama mereka di dalam bidang penguatkuasaan perlu mengambil tindakan terhadap kegiatan haram bagi mengelakkan budaya rasuah.

“Jika tidak, masyarakat akan melihat seolah-olah kita tidak bertindak dan akhirnya mendatangkan persepsi buruk kepada perkhidmatan awam,” katanya lagi.

Related Articles