Disabit Membunuh Tanpa Niat, Remaja Dihantar Ke Sekolah Henry Gurney

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini memutuskan seorang remaja lelaki yang didakwa membunuh tanpa niat sehingga mengakibatkan kematian seorang penghuni asrama dua tahun lepas dihantar ke Sekolah Henry Gurney selama tiga tahun.

Pada prosiding selama lima jam bermula 10 pagi itu, Hakim Datuk Radzi Harun membuat keputusan itu selepas mahkamah memutuskan kesalahan di bawah Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama 10 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh, Naimsyam Aimin Razak, 17, sempat memeluk seluruh ahli keluarga dalam keadaan sebak selepas keputusan mahkamah dibacakan.

Tertuduh juga menyatakan hasrat untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan.Sementara itu, kakak tertuduh, Nabila Amira Razak, 22, berkata, keluarganya reda atas keputusan mahkamah dan menganggapnya hikmah tidak terduga kepada adiknya.

“Keputusan mahkamah sangat bermakna kerana esok adalah hari lahir adik (tertuduh) yang ke-18 sebelum beberapa hari lagi kita hendak berpuasa.

“Kami berharap adik dapat kuatkan semangat dan dapat menduduki peperiksaan SPM pada tahun depan. Syukur Allah masih sayang.“Banyak hikmah dan keajaiban Allah beri, keluarga masih dalam perbincangan untuk meneruskan rayuan,” katanya memetik MalaysiaGazette hari ini.

Tertuduh dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini selepas didakwa di Mahkamah Majistret pada 1 April 2022 atas dakwaan menyebabkan kematian pelajar berusia 11 tahun.

Peguam mewakili tertuduh, Datuk Mohd Najid Husain memohon budi bicara mahkamah agar mengurangkan hukuman berdasarkan rekod kelakuan akhlak tertuduh yang dilaporkan baik.

Beliau didakwa membunuh tanpa niat yang menyebabkan kematian Muhammad Hafdan Mohd Qurbani Azhar di Surau An-Nadwah, Kompleks Asrama Cempaka Permata Camar, Jalan Pantai Sepat di sini antara pukul 3.45 dan 4.15 petang pada 20 Mac 2022.

Terdahulu, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut dipercayai selepas bergaduh dengan pelajar senior dalam kejadian yang didakwa melibatkan wang RM4. – MalaysiaGazette

Related Articles