Difteria dikesan di Selangor babitkan kanak-kanak

Perkara berkenaan disahkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah selepas Jabatan Kesihatan Selangor melaporkan kes berkenaan.

Difahamkan, keluarga kanak-kanak terbabit tidak pernah memberikan rawatan imunisasi penyakit sebaliknya mengamalkan kaedah rawatan homeopati.

“Pesakit itu mula mengalami demam, batuk dan muntah sejak 13 Ogos lalu. Dia dibawa ke Hospital Sungai Buloh pada 18 Ogos kerana sesak nafas dan terus dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) untuk rawatan lanjut.

“Pesakit diberi rawatan antitoksin dan antibiotik susulan ujian kultur swab tekak pesakit itu didapati positif bakteria Corynebacterium diphtheria,” katanya menerusi blog rasmi kpkesihatan.com, pada Selasa.

Dr Noor Hisham juga berkata, seramai 14 kontak pesakit, termasuk 11 di rumah pengasuh dan tiga yang tinggal serumah dilaporkan berada dalam keadaan sihat, namun pemantauan secara berterusan masih dijalankan.

Selain itu, katanya, Majlis Perubatan Homeopati Malaysia (MPHM) dan badan homeopati antarabangsa sentiasa mengalakkan pemberian vaksin konvensional sebagai perlindungan terhadap penyakit cegahan vaksin.

“MPHM dan badan homeopati antarabangsa tidak pernah mengiktiraf istilah vaksin homeopati, malah berpendapat vaksin sedia ada terbukti selamat dan berkesan,” katanya.

Setakat hari ini, bilangan kes disahkan difteria di Malaysia meningkat kepada 27 kes, termasuk sembilan kes di Kedah dengan satu kematian, Negeri Sembilan (tujuh), lima kes di Sabah dengan tiga kematian, tiga di Melaka dengan satu kematian, dua di Pulau Pinang dan satu di Selangor.

Related Articles