KUALA LUMPUR: Seorang pekerja pusat asuhan kanak-kanak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban atas tuduhan menganiayai dengan cara menampar bayi perempuan berusia 11 bulan di bawah jagaannya pada awal bulan ini.
Norsham Ismail, 67, membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Menurut pertuduhan, Norsham sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak perempuan berusia 11 bulan itu telah menganiayai atau bertindak secara cuai dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dengan cara menampar muka mangsa.
Perbuatan itu dilakukan jam 7.47 hingga jam 7.59 pagi, 5 Feb lalu di sebuah taska di Desa Cempaka, Nilai.Norsham dituduh mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum denda tidak lebih RM50,000 atau dipenjarakan tempoh maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syamimi Farhana Muhammad A Aziz manakala tertuduh diwakili peguam A Partheeban dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM7,000 dan menetapkan tarikh 13 Mac ini bagi sebutan semula serta keputusan penuh laporan perubatan. – Harian Metro