Dewan Rakyat tidak terima dokumen mansuh pencen Ahli Parlimen

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak menerima apa-apa dokumen ‘hitam putih’ berhubung pemansuhan pencen membabitkan saraan Ahli Parlimen.

Tan Sri Johari Abdul turut menjelaskan bahawa Jemaah Menteri pun belum membuat sebarang ketetapan mengenai perkara sama.

“Kita tidak dapat arahan, perbincangan (mengenai saraan wakil rakyat). Kalau tidak ada apa-apa datang ke meja kita dalam bentuk usul, kita anggap tak berlaku lagi (mansuh saraan wakil rakyat).

“Kalau sebelum 26 Februari ini (Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-15), tak datang (sebarang dokumen berhubung pemansuhan saraan wakil rakyat), kita anggap tak ada apa-apa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab dengan media sempena perjumpaan bersama ketua pengarang media dan agensi berkaitan pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Parlimen, hari ini.

Mengenai tahap kesihatan seramai 222 Ahli Parlimen sebelum pembukaan Parlimen hujung bulan ini, Johari berkata setakat ini semua Ahli Parlimen termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah pun menjalankan pemeriksaan kesihatan.

Beliau berkata, pemeriksaan kesihatan itu adalah syarat yang ditetapkannya untuk memastikan tahap kesihatan mereka berada dalam keadaan baik.

Bagi Ahli Parlimen yang culas menjalankan pemeriksaan kesihatan, beliau memberi amaran dan akan terus memberi peringatan kepada mereka.

“Alhamdulillah semua orang termasuk Perdana Menteri mematuhinya. Kalau tak buat pemeriksaan kesihatan, saya sendiri akan ‘kejar’ mereka.

“Tahun ini, kita maklumkan supaya mereka mesti lakukan pemeriksaan. Ini sangat penting. Kita nak pastikan Ahli Parlimen sihat. Kalau mereka kelihatan dan bunyi seperti sihat tetapi dalamannya tidak. Jadi mereka kena jumpa doktor untuk nampak kemas dan segak.

“Ada segelintir Ahli Parlimen, mereka nampak cergas tetapi doktor kata lain. Ini sebabnya kita paksa Ahli Parlimen jumpa doktor untuk pastikan tahap kesihatan mereka.

“Ia selepas 11 Ahli Parlimen rebah (di Parlimen sebelum ini). Ia selepas orang ingat mereka cergas tetapi tidak kerana mereka stres. Itu kita kena terus (pemeriksaan kesihatan) dan kita kena amalkan,” katanya.

Sementara itu, amaran terhadap Ahli Parlimen yang ponteng sidang Parlimen akan datang, Johari menegaskan pihaknya akan memberi peringatan keras kepada mereka.

Selain itu, beliau berkata orang ramai juga boleh melihat prestasi Ahli Parlimen menerusi laman web yang boleh diakses umum.

“Mereka tidak boleh sembunyikan kehadiran mereka kerana semua rekod dalam sistem Parlimen. Boleh tahu prestasi mereka,” katanya. -Berita Harian

Related Articles