Deposit Tabung Haji cecah RM62 bilion

Menurutnya dalam tempoh berkenaan jumlah deposit dicatatkan bertambah sebanyak RM3 bilion setahun sekali gus menunjukkan tahap keyakinan umat Islam terhadap agensi itu sangat tinggi.

Berdasarkan rekod agensi itu juga, sebanyak 111,329 pendeposit baharu TH dicatatkan bagi tempoh Januari hingga April tahun ini.

“Perkembangan ini sangat positif dari segi ekonomi, orang ramai tidak perlu ragu kerana apabila membuat simpanan menerusi TH, manfaat utama kepada penyimpan selain menunaikan fardu haji ialah deposit mereka dijamin sepenuhnya,” katanya.

Adi Azuan bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis anjuran TH di sini, hari ini.

Sebelum ini isu membabitkan urusan pembelian tanah oleh TH dan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di kawasan perniagaan Tun Razak Exchange TRX mencetuskan kontroversi.

Isu itu mencetuskan kebimbangan pendeposit sehingga terdapat antara mereka yang mengeluarkan deposit mereka daripada badan pengendali ibadah haji tersebut.

Isu itu kemudiannya reda apabila TH terbukti berupaya membayar dividen kepada pendeposit mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada Februari lalu mengumumkan sejumlah RM3.23 bilion dividen dan bonus akan dibayar kepada pendeposit.

Sementara itu, Adi Azuan menyeru orang ramai agar membuat pendaftaran haji sejak awal tanpa mengira usia bagi meminimumkan masalah menunggu giliran yang terlalu lama.

Katanya, sebanyak dua juta umat Islam yang berdaftar dengan TH di negara ini terpaksa menunggu giliran selama 92 tahun bagi menunaikan ibadah haji.

“Tempoh ini sangat lama, dan kerana itulah orang ramai diseru mendaftar secepat mungkin agar tempoh berkenaan tidak menjadi lebih lama, jika mereka berlengah mungkin tempoh itu boleh mencecah 100 tahun atau lebih,” katanya.

 

Related Articles