Denggi tunjuk trend penurunan – KP Kesihatan

Beliau berkata dari 31 Julai hingga 6 Ogos lepas, kes itu berkurangan sebanyak 4.1 peratus iaitu 1,819 kes berbanding 1,896 kes pada minggu sebelumnya dan tiada kematian dilaporkan.

Bagaimanapun, katanya terdapat lapan negeri yang menunjukkan peningkatan kes berbanding minggu sebelumnya iaitu Pahang 32 kes, Kelantan (18), Perak (13), Pulau Pinang (lapan), Terengganu (empat), Perlis (tiga), Kedah (tiga) dan Labuan (dua).

“Secara kumulatif dari Januari hingga 6 Ogos, jumlah kes adalah sebanyak 67,437 kes, berbanding 73,263 kes bagi tempoh sama 2015, iaitu penurunan sebanyak 8 peratus.

“Sementara bagi jumlah kumulatif kematian dalam tempoh itu, sebanyak 147 kematian dilaporkan berbanding 201 kematian bagi tempoh sama 2015, iaitu pengurangan sebanyak 26.9 peratus,” katanya dalam kenyataan, di Putrajaya, pada Sabtu.

Dr Noor Hisham berkata hasil pemantauan kementerian mendapati lokaliti wabak juga menurun pada 31 Julai hingga 6 Ogos berbanding minggu sebelumnya iaitu daripada 755 lokaliti kepada 661 lokaliti.

Mengenai situasi terkini penyakit Zika yang dikemas kini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 4 Ogos lepas, beliau berkata terdapat sebanyak 68 negara yang terlibat.

“Pemantauan berterusan untuk mengesan jangkitan Zika masih dilakukan oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan dan juga Institut Penyelidikan Perubatan,” katanya.

Beliau berkata dari Jun 2015 hingga 6 Ogos lepas, sebanyak 672 sampel telah diuji dan tiada jangkitan virus Zika yang dikesan setakat ini.

Selain itu, katanya saringan pelawat di pintu masuk antarabangsa negara masih diteruskan dan setakat ini tiada pelawat yang disyaki dijangkiti virus Zika. – Bernama

Related Articles