Denda Akta 355 wajar dinaikkan – Asyraf Wajdi

PETALING JAYA: Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) wajar dipinda dengan sekurang-kurangnya kadar denda maksimum dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM100,000, kata bekas timbalan menteri hal ehwal agama Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau yang juga setiausaha agung UMNO berkata denda kini telah digunakan sejak 40 tahun lalu dan tidak lagi munasabah selain didakwa turut memberi ketidakadilan kepada kumpulan tertentu antaranya wanita.

“Contohnya kes-kes yang melibatkan penafian hak ke atas wanita atau isteri yang menuntut nafkah atau harta sepencarian apabila ditinggalkan suami kerana kahwin lain dan sebagainya.

“Banyak kes suami lebih rela bayar denda RM5,000 daripada kena bayar nafkah atau tuntutan harta sepencarian yang berjumlah puluhan atau ratusan ribu kepada isteri.

“Ini contoh ketidakadilan kepada wanita lantaran kekangan perundangan seperti had bidang kuasa hukuman mahkamah syariah,” katanya di Facebook.

Sehubungan itu, beliau berharap Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-undang Islam ditubuhkan Disember tahun lalu dapat mengesyorkan supaya perundangan itu dinaik taraf.

“Moga-moga Jawatankuasa Khas Undang-Undang Islam ini dapat mengesyorkan juga kepada Majlis Raja-Raja dan kerajaan agar menaik-taraf Akta 355 iaitu Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang tertangguh lama,” katanya.

Gesaan sama pernah dibangkitkan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia Musa Awang pada 2019 sebagai salah satu usaha untuk memperkasa Mahkamah Syariah.

Jelasnya, ini kerana pesalah jenayah syariah akan membuat pengakuan bersalah (walaupun mereka tidak bersalah) hanya disebabkan kadar denda yang rendah. -FMT

Related Articles