Malah, walaupun semalam berlaku beberapa siri tangkapan terhadap pemimpin kedua-dua pertubuhan, penyokong mereka masih berdegil tetap berhimpun di lokasi yang ditetapkan seperti yang dirancang.
Beberapa lokasi antaranya seperti pusat membeli belah Sogo, Masjid Negara, dan Padang Merbok mula menjadi tumpuan penyokong masing-masing.
Ikuti siaran langsung demonstrasi Bersih 5 vs Gerakan Baju Merah.
5:40 petang: Beberapa jalan di sekitar ibu negara mula dibuka kepada kenderaan apabila peserta demonstrasi Bersih 5 mula beredar perlahan-lahan dalam keadaan hujan. Antara jalan-jalan tersebut termasuklah
Jalan Tun HS Lee dan Jalan Tunku Abdul Rahman. Penyokong Bersih di KLCC juga mula bergerak meninggalkan lokasi tersebut dan demonstrasi itu tamat apabila mereka menyanyikan lagu Negaraku.
5:30 petang: Hujan mula turun di KLCC dan Tun Dr Mahathir Mohamad juga kelihatan memakai baju hujan.
4:30 petang: Padang Merbok yang menjadi lokasi berhimpun peserta gerakan Baju Merah lengang dengan kawasan tersebut dipenuhi sampah sarap bekas makanan.
3:40 petang: Peserta Bersih 5 daripada Masjid Jamek tiba di KLCC.
Kelihatan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah berada di pentas ucapan mengambil masa untuk merakamkan situasi di kawasan sekitar ini menggunakan telefon bimbit masing-masing.
2:20 petang: Dengan berbaju rasmi Bersih 5 dan bertopi putih, mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad diiringi oleh bekas Timbalan Perdana Tan Sri Menteri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir tiba di Dataran Maybank Bangsar menyertai ribuan peserta demonstrasi Bersih 5.
2:10 petang: Melalui akaun media sosial rasmi milik mereka, Bersih 2.0 mengumumkan penukaran lokasi demonstrasi mereka ke KLCC.
1:35 petang: Difahamkan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang juga mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah tiba dari Sudan dan akan menyertai peserta demonstrasi Bersih 5 di ibu negara.
1:30 petang: Sebahagian peserta demonstrasi Bersih 5 yang beragama Islam mengambil kesempatan untuk mengerjakan solat zohor di Jalan Travers, Bangsar. Seorang sukarelawan perhimpunan itu turut melaungkan azan dan meminta peserta bukan Muslim memberi laluan untuk mereka bersolat.
1:30 petang: Kawasan Dataran Merdeka masih lengang.
1:26 petang: Peserta demonstrasi Gerakan Baju Merah diberikan bungkusan makanan di Padang Merbok. Difahamkan kira-kira 20,000 bungkus makanan diedarkan kepada peserta.
12:27 tengahari: Sebahagian daripada peserta kumpulan Gerakan Baju Merah tiba di Padang Merbok dengan sebahagiannya berada di tepi jalan di Jalan Parlimen.
Keadaan terkawal dengan kehadiran anggota polis di sepanjang Jalan Raja Laut sehingga Padang Merbok.
12:05 tengahari: Dianggarkan 1,000 peserta demonstrasi Gerakan Baju Merah bergerak menuju ke Padang Merbok menggunakan Jalan Kuching dengan diiringi anggota polis.Armand ketika ditemui pemberita berkata, kejayaan gerakan Baju Merah tiba di Padang Merbok membuktikan bahawa gerakan tersebut cintakan keamanan.
12:00 tengah hari: Peserta demonstrasi Bersih bergerak dari LRT Bangsar menuju ke Dataran Merdeka.
11:35 pagi: Kira-kira 1,000 peserta demonstrasi Gerakan Baju Merah difahamkan menuju ke Padang Merbok dengan menggunakan lencongan di hadapan Kompleks Pertama dengan anggota polis mengawal dengan ketat lokasi berkenaan bagi mengelakkan pertembungan berlaku.
Turut kelihatan sebuah trak meriam air yang digunakan oleh FRU sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.
11:00 pagi : Peserta demonstrasi Gerakan Baju Merah mula berarak ke Dataran Merdeka melalui Jalan Putra sambil bertakbir dan melaungkan kalimah ‘Lailahaillah’.
“Kita hari ini nak bersiar-siar di Dataran Merdeka. Tak ada apa-apa akan berlaku. Kita nak bersiar-siar je,” kata Armand kepada pemberita.
10:30 pagi : Aktivis Hishamuddin Rais ditahan pihak polis sebaik sahaja beliau selesai memberikan ucapan kepada penyokong Bersih 5 di Bangsar.
10:00 pagi : Ribuan peserta Baju Merah mulai berkumpul di perkarangan PWTC sejak pukul 8 pagi tadi.
Pemimpin Gerakan Merah, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata semua peserta akan berkumpul di PWTC sebelum berarak menuju ke Padang Merbok sekitar jam 12 tengahari nanti.
Jelasnya, Gerakan Merah akan berarak melalui Jalan Kuching bagi mengelakkan pertembungan dengan peserta Bersih 5 yang turut mengadakan himpunan pada hari ini.
Penyokong Bersih juga mula kelihatan di sekitar pusat membeli belah Sogo. Selain itu turut kelihatan anggota polis bersedia di lokasi-lokasi tertentu bersama Pasukan Simpanan Persekutuan(FRU) bagi mengawal keadaan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.