Dekati semua kaum minoriti, kata Khairy

Ketua Pergerakan itu Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, perkara itu perlu diberi perhatian serius kerana BN tidak boleh berharap kepada pengundi Melayu semata-mata untuk mencapai kemenangan.

“Kita juga tidak boleh hanya bergantung kepada program rasmi yang ramai dihadiri penyokong kuat kita sahaja. Kita mesti jumpa pengundi…jangan harapkan pengundi jumpa kita, tambahkan program tinjauan mesra,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Sukan BN dan Program Salam Pelancaran Jentera Bermotor Pemuda BN di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina Yoke Kuan, semalam.

Turut hadir Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar dan Adun Sungai Panjang Budiman Mohd Zohdi yang dinamakan sebagai calon BN bagi PRK Sungai Besar.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, semua jentera BN perlu sedar bahawa PRK Parlimen Sungai Besar adalah ujian terakhir yang akan menentukan prestasi BN pada pilihan raya umum ke-14 kelak.

PRK itu diadakan pada 18 Jun ini dengan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 5 Jun dan pengundian awal pada 14 Jun.

Kerusi Parlimen Sungai Besar kosong berikutan penyandangnya Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi terkorban dalam tragedi helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas. – Bernama

Related Articles