Perayaan yang disambut bagi melambangkan kejayaan kebaikan mengatasi kejahatan itu juga mengekalkan semangat muhibah dan keharmonian rakyat berbilang kaum menerusi tradisi rumah terbuka.
Namun, di sebalik kemeriahan itu, rasa prihatin dan hormat terhadap mangsa dan keluarga yang terbabit dalam kebakaran di Unit Rawatan Rapi(ICU), Hospital Sultanah Aminah, Johor baru-baru ini tetap dirasai.
Malah, sambutan dan penganjuran rumah terbuka peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur dan sambutan peringkat negeri Johor turut dibatalkan sebagai menghormati insiden menyayat hati itu yang mengorbankan nyawa enam pesakit, termasuk tiga pesakit berbangsa India.
Tinjauan di kuil Sri Subramaniyar Swamy, Batu Caves mendapati pelancong asing juga tidak melepaskan peluang meraikan perayaan itu di samping menikmati aneka juadah yang dijual peniaga di kawasan terbabit.
Bagi Percey Shelley, 33, dari United Kingdom, kunjungannya kali kedua ke negara ini lebih bermakna apabila dapat menyertai kemeriahan warna-warni sambutan Deepavali.
“Ia satu pengalaman yang menakjubkan untuk melihat sambutan yang begitu hebat dan penuh warna warni seperti ini. Tak perlu disebut tentang layanan diberikan penduduk tempatan.. memang baik dan saya berasa diraikan di sini,” katanya.
Dalam pada itu, suasana di Kuil Sri Ayyanareeswarar, Setapak, penganut agama Hindu mula tiba seawal 7 pagi bagi upacara sembahyang dan memperingati anggota keluarga yang telah meninggal dunia.
Seorang pelajar universiti tempatan, P. Dineshwaran, 27, yang mengunjungi kuil tersebut bersama rakan-rakannya berkata persiapan perayaan tahun ini dibuat secara sederhana memandangkan beliau tidak dapat pulang beraya bersama keluarganya di Perak kerana terikat dengan komitmen pelajaran.
Sementara itu, di Kuil Sri Maha Kaliamman, Seri Serdang, mendapati penganut agama Hindu mengambil peluang cuti perayaan tersebut dengan berkunjung ke kuil bersama anggota keluarga masing-masing.
J.Shaliney, 32, berkata setiap tahun beliau tidak pernah melepaskan peluang berkumpul bersama anggota keluarganya selepas bersembahyang di kuil.
Di Shah Alam, antara kuil yang menjadi tumpuan penganut Hindu ialah Kuil Sri Maha Mariamman, Seksyen 7 di sini dan Kuil Sri Agilandeswari, Kapar, Klang.
Penganut Hindu turut mengambil kesempatan mengadakan rumah terbuka untuk menerima kunjungan saudara mara dan sahabat handai.
Di Ipoh, penganut Hindu dilihat memenuhi kuil di sekitar bandar ini bagi upacara keagamaan sebelum mengunjungi rumah saudara-mara dan rakan-rakan.
Ketua MIC Ipoh Barat Datuk G.Rajoo tidak melepaskan peluang untuk mengadakan rumah terbuka di kediamannya di Lim Garden di sini mulai pukul 12 tengah hari hingga 3 petang.
Tinjauan mendapati beberapa kawasan pelancongan antaranya di Little India, Ipoh juga meriah dengan kunjungan orang ramai dan hiasan berwarna-warni Deepavali.
Di Sungai Petani, perayaan berkenaan disambut kira-kira 75,000 masyarakat berketurunan India di sini yang dimulakan dengan memohon restu daripada kedua orang tua, sebelum ke kuil bagi upacara keagamaan dan menziarahi keluarga serta kenalan.
Ketua MIC Bahagian Sungai Petani, TH Subra berkata rumah terbuka Deepavali anjuran MIC Sungai Petani turut akan diadakan dalam masa terdekat.
“Walaupun sambutan meriah, namun ia masih diraikan dengan penuh kesederhanaan sebagai menghormati mangsa-mangsa yang terlibat dalam insiden kebakaran di Hospital Sultanah Aminah Johor baru-baru ini,” katanya.
Di PUlau Pinang, kuil-kuil di sepanjang Jalan Kebun Bunga menjadi antara kawasan tumpuan penganut agama Hindu bersembahyang kerana Kuil Arulmigu Balathandayuthapani di kaki bukit di jalan itu ditutup untuk pembinaan.
Tinjauan Bernama di Little India, di sini mendapati banyak kedai-kedai ditutup dan kelihatan juga orang ramai termasuk pelancong asing bersiar-siar di sekitar Lebuh Queen, Lebuh Chulia and Jalan Pasar yang merupakan tempat tumpuan semasa perayaan Deepavali.
Di Kuantan, penganut Hindu mulai memenuhi kuil tertua di daerah ini, Kuil Sri Sithi Vinayagar yang dianggarkan berusia lebih 120 tahun bagi upacara sembahyang mulai pukul 7 pagi.
Pengerusi kuil S. Gunasundram berkata persiapan untuk menyambut kehadiran orang ramai bermula seawal pukul 4 pagi di mana anggota jawatankuasa dan para sami akan memulakan ritual memandikan dewa dan dewi di sekitar kuil.
“Upacara mandi bukan sekadar menggunakan air, tetapi juga pelbagai barangan lain seperti susu dan tairu sebelum dipakaikan persalinan baharu. Upacara sembahyang bermula pada pukul 5 pagi, namun waktu puncak adalah pada pukul 8 pagi.
“Ini kerana, mereka bersembahyang di rumah dahulu sebelum ke kuil. Hari ini, kami menganggarkan kehadiran 700 orang dan ada di antara mereka membawa buah serta bunga untuk dipersembahkan kepada dewa dan dewi,” katanya semasa ditemui.
Di Seremban, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin menghadiri rumah terbuka Ketua Penerangan MIC Kebangsaan Datuk V.S. Mogan di kediamannya di sini yang turut dihadiri kira-kira 500 orang.
Turut mengadakan rumah terbuka, pengerusi MIC Negeri Sembilan Datuk L. Manickam di perkarangan Pusat Khidmat Barisan Nasional Dewan Undangan Negeri Jeram Padang, Bahau.- Bernama