Beliau berkata jumlah tragedi helikopter di negara ini agak membimbangkan.
“Barangkali (operasi helikopter) perlu lebih diteliti termasuk juruterbang. Tentunya (pihak-pihak berkenaan) perlu mengenalpasti kelemahan operasi helikopter.
“Saya kira Jabatan Penerbangan Awam (DCA) perlu lebih bertanggungjawab dari segi teknikal,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama para petugas media di sini, semalam.
Ditanya mengenai perkembangan terbaru berhubung nahas helikopter di Batang Lupar, Ab. Aziz berkata rangka utama helikopter itu belum ditemui. Usaha mencari akan dteruskan, katanya.
Minggu lepas, laporan awal mengenai nahas helikopter AS350 di Batang Lupar, Sarawak pada 5 Mei itu menunjukkan kemungkinan besar tempat jatuh pesawat itu di dalam sungai.
Ini memandangkan mayat-mayat penumpang, juruterbang dan beberapa bahagian helikopter, ditemui dalam sungai. Laporan yang dikeluarkan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) juga menyebut kemungkinan yang sama.
Pada 5 Mei, helikopter malang itu terhempas di Batang Lupar ketika membawa lima penumpang iaitu Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Tan Sri Noriah Kasnon, suaminya Asmuni Abdullah, dan pengawal peribadinya Ahmad Sobri Harun.
Dua lagi penumpang VIP ialah ketua setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Sundaran Annamalai dan anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, yang juga pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia.
Helikopter itu dipandu oleh Kapten Rudolf Rex Ragas.
Pada April tahun lepas, Anggota Parlimen Rompin Tan Sri Jamaluddin Jarjis adalah antara enam orang yang terkorban dalam kemalangan helikopter di Semenyih, Selangor. – Bernama