Datuk Seri miliki 31 unit kondominium mewah RM15.5j

Kesemua unit kondominium yang terletak di ibu negara itu dikatakan telah ‘dibeli’ daripada lima pemaju projek perumahan yang berurusan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menurut sumber, siasatan SPRM mendapati suspek telah ‘membeli’ kesemua unit kondominium tersebut yang harga asalnya RM200,000 sehingga RM300,000 tanpa membuat bayaran pendahuluan menggunakan nama sendiri dan orang terdekat.

“Suspek ini dipercayai telah menandatangani perjanjian jual beli (S&P) dengan pemaju tanpa membuat sebarang pembayaran pendahuluan.

“Apabila rumah siap, suspek dipercayai akan menjual semula setiap rumah pada harga semasa dengan anggaran RM500,000 setiap satu dan mendapat untung atas angin,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia.

Ahad lalu, Mingguan Malaysia mendedahkan terdapat salah guna kuasa segelintir pegawai kanan sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) di Lembah Klang bagi memperoleh kondominium dan apartmen terutama di lokasi strategik.

Perkara itu berlaku berikutan terdapat pakatan antara pegawai tinggi dan pemaju projek perumahan apabila mereka dikatakan telah membuat tempahan tanpa membuat pembayaran pendahuluan.

Sebaik sahaja projek itu siap dan mendapat sijil layak menduduki (CF) daripada PBT, pemaju akan mengambil semula unit yang ‘dibeli’ oleh pegawai PBT terlibat dan menjual kepada pembeli sebenar dengar kadar yang lebih tinggi bagi mengaut keuntungan.

Tambah sumber lagi, siasatan juga tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa lagi pegawai dan kakitangan DBKL terlibat melakukan perkara yang sama bagi mendapat keuntungan mudah.

“Setakat ini, siasatan lanjut masih dijalankan dan kita masih lagi mencari orang kanan suspek terbabit bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Related Articles