Dato’ Malik Nafi Kaitan Dengan Kartel Dadah India

KUALA LUMPUR: Abdul Malik Dasthigeer, atau lebih dikenali sebagai “Dato’ Malik”, menafikan sebarang kaitan dengan individu disyaki raja dadah India, Jaffer Sadiq Abdul Rahman.

“Tuduhan yang dibuat terhadap saya bahawa saya adalah bosnya ialah palsu kerana saya tidak pernah bertemu mahupun bercakap dengan Jaffer,” katanya dalam video yang disiarkan di Instagram hari ini.

Katanya, beliau telah memfailkan laporan polis di IPD Dang Wangi di Kuala Lumpur dan menghantar salinan laporan itu kepada Suruhanjaya Tinggi India.

Pada Isnin, seorang wartawan dari India mendakwa seorang rakyat Malaysia menjadi ketua kepada seorang individu disyaki “raja dadah” yang diberkas baru-baru ini.A Shankar mendakwa bos kepada “raja dadah” itu seorang pengedar filem, dan semalam menamakan Abdul Malik sebagai individu tersebut.

Abdul Malik berkata, beliau telah mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan segera terhadap media dan individu berkongsi berita palsu yang mencemarkan reputasinya itu.

Tahun lepas, Abdul Malik ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, namun dibebaskan selepas beberapa hari dengan jaminan.

Abdul Malik, pengasas dan pengerusi Malik Group of Companies, dikenali kerana usahanya membawa artis dari India untuk mengadakan konsert Tamil di Malaysia. – FMT

Related Articles