Dari 1.5 Juta Syarikat Berdaftar, Hanya 29 Peratus Sahaja Yang Bayar Cukai

KUALA LUMPUR: Jumlah syarikat di negara ini yang membayar cukai masih rendah iaitu sekitar 435,000 syarikat berbanding 1.5 juta syarikat berdaftar pada tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini bermakna kurang daripada 29 peratus syarikat berdaftar yang membayar cukai.

Tambah beliau, Malaysia masih mempunyai asas cukai yang rendah iaitu sekitar 11.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding dengan negara jiran seperti Singapura (12.6 peratus) dan Thailand 16.4 peratus.

“Sehingga 31 Disember 2023, jumlah pembayar cukai individu adalah sebanyak 5.7 juta dengan hasil kutipan RM40.96 bilion dan bagi syarikat pula adalah sebanyak 539,113 dengan hasil kutipan RM98.77 bilion.

“Melalui Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) 2.0 yang sedang dijalankan pula, LHDNM telah menerima 68,806 kes pengisytiharan sukarela setakat 15 Februari lalu, berjumlah RM610.62 juta daripada pembayar cukai baharu dan sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Hasil Ke-28 LHDN di sini hari ini.Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, pada tahun lalu, LHDN berjaya mencipta sejarah baharu kutipan cukai negara pada angka RM183.34 bilion melebihi RM7.8 bilion atau 4.49 peratus daripada jumlah kutipan berbanding tahun lalu.

Katanya, pada masa sama, peningkatan hasil daripada usaha Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah membantu menambah baik program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Katanya, ia membolehkan bayaran SARA telah digandakan selepas jumlah penerima melonjak kepada 700,000 ketimbang 210,000 tahun lalu. – MalaysiaGazette

Related Articles