Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pihaknya tidak pernah membincangkan kedudukan dalam kerajaan dengan mana-mana pihak termasuk Pengerusi Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu.
“Kami tidak pernah bercakap tentang jawatan dalam kerajaan. Kami tidak membincangkan tentang jawatan TPM atau tentang apa-apa jawatan dalam kabinet.
“Marilah kita ingat apabila kita bercakap mengenai bangsa, ia tidak boleh menyelesaikan apa-apa masalah,” katanya dalam sidang media di George Town hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Tun Mahathir yang mendedahkan DAP mahu jawatan Timbalan Perdana Menteri dalam dalam program Warga Putrajaya bersama Tun Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, malam tadi.
Bagaimanapun, Ketua Menteri Pulau Pinang itu enggan mengulas lanjut sama ada Tun Mahathir berbohong mengatakan parti itu mahu jawatan Timbalan Perdana Menteri.
“Saya tidak mengatakan begitu,” kata Guan Eng.
Tambah Guan Eng, DAP hanya akan bertanding dalam 50 kerusi pada PRU14 akan datang dan konsisten dengan pendiriannya menyokong pelantikan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Tun Mahathir mendakwa DAP tidak meminta jawatan Perdana Menteri kerana akur kaum Cina adalah golongan minoriti di negara ini namun meletakkan harapan untuk mengisi jawatan kedua tertinggi negara.
“Kononnya kata (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib (Razak), kalau UMNO kalah, DAP menang, ia (DAP) akan jadi Perdana Menteri. Tak mungkin kerana kalau DAP nak menang, ia kena dapat sokongan parti Melayu yang lain.
“Mereka terang-terang kata kepada saya, bangsa Cina ini minoriti dalam negara ini…dan DAP tak pernah minta menjadi Perdana Menteri.
“Tapi kalau timbalan itu, adalah.. Yang kata mereka nak jadi Perdana Menteri adalah Datuk Seri Najib untuk menakut-nakutkan orang Melayu,” katanya