Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong berkata, walaupun laporan siasatan nahas disediakan, RCI itu bertujuan bagi memantau dan mengawasi operasi syarikat bas ekspres.
“Walaupun laporan siasatan lengkap disediakan untuk nahas melibatkan sesebuah bas ekspres, adalah penting penubuhan satu RCI untuk memantau dan mengawasi operasi setiap syarikat bas ekpres.
“Sebab ini melibatkan soal keselamatan penumpang. Kemalangan maut yang melibatkan sebuah bas ekspres dari Pulau Pinang ke Pagoh pada Sabtu lepas rupa-rupanya mendapati, pemandu bas itu hanya tidur selama tiga jam sahaja sebelum memulakan perjalanan,” katanya.
Katanya siasatan menyeluruh boleh mengesahkan dakwaan berkenaan dan punca sebenar kemalangan yang mengorbankan 14 nyawa penumpang manakala 16 lagi cedera parah.
“Tetapi bagi setiap syarikat bas ekpres hanya pemandu terhad sahaja digaji dan mereka diberi ubat kecergasan untuk memastikan mereka sentiasa aktif untuk meneruskan perjalanan jarak jauh secara berulang alik.
“Oleh kerana ratusan ribu rakyat menggunakan perkhidmatan bas ekspres ini kita tidak boleh mengambil sikap mendiamkan diri dalam perkara ini.
“Sekiranya rakyat hilang kepercayaan kepada aspek keselamatan bas ekspres dan mula menggunakan kenderaan persendirian, ia tidak akan membawa sebarang manfaat.
“Oleh demikian, gaji pemandu, kesihatan dan aspek keselamatan bas perlu diperkasa dengan transformasi industri berjangka panjang oleh RCI,” ujarnya. -Tamil Nesan