Pada sidang media terakhir menjelang hari pengundian Sabtu ini, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen menuduh Barisan Nasional (BN) mengamalkan politik wang dan mencemuh media kerana melaporkan berita mengenai kekurangan pembangunan di kawasan-kawasan dikuasai oleh parti pembangkang itu.
Tanpa menamakan sebarang kawasan, beliau mendakwa peluang parti itu kini dalam bahaya dan larangan masuk beberapa pemimpin parti pusat ke negeri ini telah meredakan bahang pilihan raya dan mengakibatkan parti itu kurang menerima sumbangan derma.
“Adalah sukar untuk kami beropersi seperti sekarang ini kita perlu juga menjaga banyak kawasan-kawasan luar bandar,” kata Chong yang akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Sentosa.
Parti itu bangkit untuk melakarkan pencapaian terbaik dengan memenangi 12 kerusi pada pilihan raya negeri 2011 dan kali ini mengembangkan sayap di 16 kawasan majoriti kaum Dayak.
Penganalisis berkata kempen parti itu sudah menjangkau kemampuan kerana ia bukan sahaja perlu mempertahankan 12 kerusi tetapi juga berkempen di kawasan pedalaman di mana ia tidak mungkin mencapai prestasi yang baik.
“DAP mengumumkan sasaran menang sekurang-kurangnya 18 kerusi…ini bermakna 12 kerusi majoriti Cina dan tambahan enam kerusi di kawasan majoriti Dayak.
“Ini adalah misi yang mustahil,” kata penganalisis yang tidak mahu namanya disiarkan. – Bernama