DAP minta kembalikan Labuan kepada Sabah

Kata beliau yang juga pengarah pendidikan politik DAP, serahan semula Labuan mampu memperbetulkan kesilapan setelah kerajaan negeri Sabah menyerahkan daerah itu kepada kerajaan Persekutuan pada tahun 1984.

Bekas ketua menteri Sabah, Datuk Harris Salleh dari Parti Berjaya menyerahkan Labuan sebelum pilihan raya negeri 1985.

“Harris sendiri melahirkan rasa kesal kerana menyerahkan Labuan,” katanya dalam blog beliau.

Ia merupakan salah satu daripada empat cadangan DAP susulan cadangan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk memperluaskan Wilayah Persekutuan dengan memasukkan Pulau Pinang, Langkawi, Kedah dan sebahagian Melaka.

Tiga cadangan lain termasuklah memansuhkan Kementerian Wilayah Persekutuan dengan menubuhkan ‘kerajaan negeri’ Kuala Lumpur serta memansuhkan majlis tindakan Persekutuan di tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.

Yang terakhir ialah memansuhkan Setiausaha Persekutuan di Sabah dan Sarawak.

Cadangan Tengku Adnan mendapat kritikan hebat oleh pelbagai pihak yang menyifatkannya sebagai satu bentuk penjajahan dan ‘rampasan kuasa’ setelah BN dilihat sebagai lemah untuk merampas negeri-negeri yang dikuasai oleh pembangkang pada masa ini.

Mengulas lanjut, Liew berkata, pihaknya percaya empat cadangan yang dikemukakan boleh menangani cadangan Tengku Adnan yang bukan sahaja kuno tetapi juga berbahaya dalam jangka masa panjang.

“Dalam ‘Wilayah Persekutuan’ Malaysia, segalanya dikendalikan oleh kerajaan UMNO-BN, tanpa suara dari rakyat, sama ada pengundi atau pembangkang.

“Sebagai contoh, Datuk Bandar Kuala Lumpur tidak dipilih oleh rakyat, justeru, tidak bertanggungjawab kepada rakyat kerana dilantik oleh kerajaan Persekutuan.

Oleh itu, sudah tiba masanya untuk mengkaji semula kesilapan yang pernah berlaku dalam sejarah negara ini, tambah Liew.

“Kerajaan negeri dengan empat puluh kerusi boleh menjadi titik permulaan untuk mereka bentuk semula institusi negara,” jelasnya. -Malaysiakini

Related Articles