Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata tindakan DAP mempertikai RUU yang dibawanya ke Dewan Rakyat semalam sebagai tidak beradab dan ingin memusuhi Islam.
Ahli Parlimen Marang berkata, tindakan DAP yang terus melenting sebaik usul itu dibentang semalam jelas menunjukkan sifat mereka yang bukan saja biadab, malah anti Islam.
Beliau berkata, MCA, GERAKAN dan MIC yang kadangkala tidak bersetuju dengan agenda orang Islam lebih tertib dan beradab dalam menyuarakan bantahan.
“DAP menunjukkan sikap anti Islamnya. DAP tidak ada adab dan dia terus melenting dan menentang (usul berkenaan). Pada hal usul ini tidak berkait dengan orang bukan Islam pun.
“Saya turut kesal dengan PAN (Parti Amanah Negara) yang digunakan DAP dalam hal ini kerana sudah melanggar sempadan agama sendiri demi kepentingan politik,” katanya di pejabat Kesatuan Ulama Islam Sedunia di Terengganu, hari ini.
Semalam, Hadi membentangkan usul itu di Dewan Rakyat dengan tujuan memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah di negara ini.
Dalam rang undang-undang ahli persendirian yang kali pertama dalam sejarah dibentangkan wakil pembangkang itu, Hadi mencadangkan Seksyen 2 rang undang-undang berkenaan digantikan seksyen baru.
Dengan pindaan itu, Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas umat Islam dan dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara-perkara yang disenaraikan dalam Butiran 1 Senarai Negeri di bawah Jadual Kesembilan Undang-undang Persekutuan.
Bagaimanapun, sebelum ia dibentang oleh Hadi, beberapa wakil pembangkang termasuk Anthony Loke (DAP-Seremban), Teresa Kok (DAP-Seputeh), Chong Chieng Jen (DAP-Bandar Kuching), Khalid Abdul Samad (MANAH-Shah Alam) dan Dr Michael Jeyakumar Devaraj (PSM-Sungai Siput) bangkit mempertikaikan mengapa usul yang dibawa Hadi itu didahulukan, sedangkan ia berada di kedudukan ke-15 atau terakhir dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat semalam.
Tan Sri Pandikar Amin Mulia seterusnya membenarkan ia dibentang atas budi bicara beliau sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Lebih bermakna lagi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said menjadi pencadang kepada usul RUU berkenaan, manakala Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Shirlin bertindak selaku penyokong.
Ditanya adakah tindakan membentangkan usul tersebut sebagai gimik politik menjelang PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar, Hadi berkata ia tidak ada kena-mengena dengan politik.
Abdul Hadi berkata, ini bukan kali pertama usul itu dibentang kerana beliau pernah membawanya ke Parlimen sebelum ini.
“Kalau ini satu gimik politik sudah tentu ia akan menakutkan PAS sebab mungkin akan kehilangan undi orang bukan Islam.
“Tetapi ini tidak ada kaitan dengan pilihan raya sebab ia pernah dibawa ke Parlimen pada 1995 dan seingat saya titah ucapan Yang di-Pertuan Agong sebelum ini pernah menyatakan perlunya peranan Mahkamah Syariah dimartabatkan,” jelasnya.