Cubaan culik tawar gula-gula kepada murid sekolah gagal

Bapa mangsa yang enggan dikenali memberitahu, dalam kejadian pukul 1 petang itu, anaknya yang berusia lapan tahun bersama rakannya sedang berjalan kaki pulang ke rumah dan tiba-tiba ditegur oleh dua lelaki yang menaiki sebuah kereta Proton Exora berwarna hitam.

“Dua suspek itu menawarkan gula-gula untuk menarik perhatian mereka namun tidak diendahkan. Kemudian suspek sekali lagi cuba memanggil kedua-dua kanak-kanak ini untuk menunjukkan video dalam telefon bimbit mereka.

“Walau bagaimanapun, anak saya dan rakannya tidak mengendahkan panggilan lelaki itu dan terus melarikan diri,” katanya, memetik Utusan Online.

Dakwanya lagi, anaknya kemudian menceritakan kejadian tersebut selepas dia pulang dari tempat kerja pada pukul 7 malam.

“Ekoran kejadian itu, saya segera membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya kerana bimbang keselamatan anaknya selepas ini.

“Memang saya sering kali mengingatkan anak-anak supaya tidak mudah mengikut orang tidak dikenali. Namun, kejadian sebegini menimbulkan kerisauan terutamanya memikirkan keselamatan kanak-kanak yang berjalan bersendirian setiap kali pulang dari sekolah,” katanya.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hasan ketika dihubungi mengesahkan laporan tersebut dan memberitahu, Unit Rondaan Bermotosikal (URB) diarahkan membuat rondaan yang lebih kerap di kawasan tersebut bagi memastikan keselamatan anak-anak dan penduduk sekitar terjamin.

Related Articles