Cuaca Panas Dijangka Sehingga Pertengahan April – MET Malaysia

KUALA LUMPUR: Cuaca panas yang melanda negara ketika ini dijangka berkekalan hingga pertengahan April kerana kekurangan awan yang boleh membawa hujan serta fenomena ekuinoks yang diramalkan berlaku Rabu ini.

Fenomena ekuinoks terjadi apabila kedudukan matahari sejajar dengan Garisan Khatulistiwa, menjadikan jarak antara bumi dan matahari paling dekat dalam sistem solar.

Ini juga akan menyebabkan suhu bumi meningkat, selain jangka masa siang dan malam menjadi sama iaitu 12 jam.

Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) Jabatan Meteorologi Malaysia (MET), Ambun Dindang berkata, dalam tempoh itu suhu boleh mencecah antara 35 hingga 38 darjah Celcius bergantung kepada kehadiran awan dan hujan ketika itu.

“Selepas 20 Mac, kedudukan matahari yang berada di utara garisan Khatulistiwa termasuk di Malaysia, jadi kami menjangkakan cuaca panas ini akan berkekalan sehingga April,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu Bernama Radio dengan tajuk Hari Meteorologi Sedunia di Wisma Bernama, semalam.

Selain itu, Ambun berkata sempena Hari Meterologi Sedunia pada 23 Mac ini, MET akan mengadakan sambutan di ibu pejabat METMalaysia hari ini bermula jam 9 pagi.

Antara pengisian yang dirangka untuk sambutan itu ialah penyampaian anugerah tokoh meteorologi, audio siar (podcast) bertajuk “Berbicara dengan Langit” selain agihan bubur lambuk kepada petugas METMalaysia. – Bernama

Related Articles