SHAH ALAM: Seorang guru yang pernah mencuri perhatian kerana mengkritik sistem pendidikan negara, Mohd Fadli Mohamed Salleh, mengumumkan keputusannya mengundur diri dari dunia pendidikan semalam.
Dalam hantaran di Facebooknya, Mohd Fadli memaklumkan yang dia telah memilih untuk bersara awal.
Memulakan tugas sebagai guru sejak Jan 2006 di Sekolah Kebangsaan Mambang, Pekan di Pahang, dia kemudian menamatkan kerjaya di Sekolah Kebangsaan 1 Gombak, Selangor.
“Banyak sebenarnya ingin ditulis, tapi aku tak tahu di mana perlu bermula. Ah, biarlah aku pendam sahaja segalanya.
“Setiap yang bermula pasti berakhir jua. Terima kasih semua atas memori indah sepanjang kita bersama. Kalian sentiada ada dalam setiap sujud dan doa.
“Izinkan daku mengundur diri,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Pada 16 Oktober 2022 Mohd Fadli yang juga pempengaruh media sosial mencetuskan kontroversi apabila kisahnya mempersoal sistem pendidikan menyebabkan dia berdepan tindakan tatatertib.
Pekeliling dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ketika itu tular Mohd Fadli berdepan tindakan dengan tujuan buang kerjaa ataupun turun pangkat.
Tindakan yang dikenakan terhadap Mohd Fadli itu mendapat perhatian menteri pendidikan ketika itu, Radzi Jidin.
Dalam satu hantaran berasingan, Mohd Fadli memberi pencerahan bahawa dia memilih pencen awal bukan kerana kecewa terhadap KPM, bahkah mengakui sangat sayang kepada dunia pendidikan.
“Cuma adab Melayu, bila bertandang ke rumah orang, tidak molek kita membuat onar sesuka hati.
“Saya tak mahu jadi tetamu yang biadab terhadap tuan rumah yang baik hati. Kerana kasih dan menghormati tuan rumah saya undur diri,” kata berkias.
Tambahnya lagi, dia akan akan terus berada dalam bidang pendidikan dan akan terus bersuara demi dunia pendidikan.
“Cuma berbeza haluan. Suara saya akan sentiasa ada,” katanya lagi. -Malaysiakini