BUKIT MERTAJAM: Sebuah ladang ternakan babi di perkampungan Sungai Lembu, di sini diarah tutup serta-merta selepas disyaki melepaskan sisa ternakan hingga menyebabkan pencemaran Sungai Kulim dan Sungai Air Merah di Kedah.
Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang Fahmi Zainol berkata arahan itu dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) selepas semakan mendapati ladang itu tiada lesen sah untuk beroperasi.
“Hasil semakan, ladang ini didapati gagal dalam proses mendapatkan lesen, oleh sebab itu JPV mengeluarkan arahan supaya pemiliknya mengosongkan ladang selain diminta memberikan jadual pergerakan babi dari ladang ke rumah sembelih,” katanya ketika dihubungi.
Fahmi berkata bilangan ternakan di ladang itu banyak dan pemindahan perlu dilakukan secara berperingkat.
Katanya, tindakan lanjut juga akan diambil pihak JPV mengikut peruntukan undang-undang sedia ada terhadap pemilik ladang terbabit selain mengeluarkan satu notis kompaun.
Media hari ini melaporkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah mengesan kegiatan melepaskan sisa ternakan babi yang disyaki dari ladang perkampungan Sungai Lembu, dalam Daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang hingga menyebabkan pencemaran Sungai Kulim dan Sungai Air Merah.
Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata pemeriksaan oleh pihaknya mendapati terdapat beberapa kolam yang melepaskan efluen ke Sungai Air Merah yang kemudiannya memasuki Sungai Kulim, yang jarak antara kawasan penternakan ke pertemuan Sungai Air Merah-Sungai Kulim adalah kira-kira tiga kilometer.
Untuk rekod, terdapat Loji Rawatan Air (LRA) Toh Allang di Sungai Kulim yang membekalkan air bagi Pulau Pinang dan loji ini terletak kira-kira tujuh kilometer dari pertemuan Sungai Kulim dan Sungai Air Merah.
Sementara itu, Pengarah JAS Pulau Pinang, Norazizi Adinan memaklumkan pihaknya telah mengambil sampel dari lima lokasi untuk diuji dan sekiranya aduan itu berasas tindakan susulan termasuk perundangan akan diambil terhadap pemilik ladang tersebut.
“Pegawai JAS telah turun ke kawasan dinyatakan sejak semalam dan siasatan masih diteruskan hingga ke hari ini.
“Bagaimanapun dalam kes ini, peranan JAS adalah terhad kerana kami tiada kuasa khusus terhadap ladang ternakan jadi kami akan bekerjasama dengan pihak-pihak lain untuk mengambil tindakan perundangan mengikut kuasa masing-masing,” katanya. -Bernama