CCRIS aniaya peminjam PTPTN, kata Pemuda PAS

Naib Ketua Pemuda PAS, Ir Khairil Nizam Khirudin menyifatkan ia satu bentuk penganiayaan kepada peminjam PTPTN dan sepatutnya mereka memahami majoriti daripada 1.25 juta peminjam adalah golongan generasi muda yang baharu menamatkan pengajian universiti awam dan swasta.

Beliau berkata, golongan tersebut sepatutnya diberikan lebih masa untuk mendapatkan pekerjaan sesuai sebelum memulakan pembayaran balik pinjaman tersebut.

“Berpandukan syarat yang ditetapkan, kesemua peminjam PTPTN perlu mula membayar balik pinjaman dalam tempoh enam bulan selepas mereka menamatkan pengajian dan jumlah bayaran perlulah mengikut jadual yang telah ditetapkan,” katanya, dalam satu kenyataan pada Khamis.

“Persoalannya, inilah dilema besar yang dihadapi anak muda. Tidak ramai graduan yang mendapat kerja seawal tempoh tersebut dan jumlah pendapatan bulanan yang diterima masih belum cukup untuk menampung kos sara hidup,” katanya.

Merujuk kepada indeks pengangguran negara, beliau berkata kadar pengangguran meningkat daripada 3.1 peratus pada Januari 2015 kepada 3.4 peratus pada Januari 2016.

Laporan dari Jabatan Statistik Malaysia juga melaporkan bahawa kini terdapat 14.6 Juta tenaga kerja dalam negara dengan 501 ribu individu lagi masih tiada pekerjaan. ‎

Tambahnya lagi, peminjam yang tersenarai dalam CCRIS akan berhadapan dengan masalah untuk mendapatkan kelulusan permohonan pinjaman seperti termasuk peribadi, perumahan, kenderaan dan lain lain.

“Kami bukanlah menggalakkan orang yang berhutang tidak perlu membayar pinjamannya, tetapi mengharap kerajaan bertimbang rasa dan lebih bijaksana dalam menyelesaikan isu ini,” katanya.

Related Articles