Calon PKR mati ditembak di Miri

by SM Amin

PKR dalam satu kenyataan terkejut dengan kes pembunuhan Bill Kayong yang juga merupakan setiausaha politik kepada ahli Parlimen Miri, Dr Michael Teoh.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Bill Kayong seorang aktivis dan anggota PKR yang komited kepada agenda Reformasi.

“Beliau sering mengangkat isu-isu yang dekat di hati rakyat Sarawak, termasuklah isu hak tanah adat yang beliau kerap bangkitkan sewaktu PRN yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan bersama dengan Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Mengikut laporan awal, Bill Kayong telah mati ditembak di lampu trafik berhampiran Emart One-Stop Shopping Mall di Senadin, Miri, di dalam kenderaan pacuan empat roda yang ada lambang KEADILAN.

Susulan daripada itu, PKR mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan segera dengan mengesan, menangkap dan dibawa suspek ke muka pengadilan.

“Bagi pihak keluarga besar PKR, kami merakamkan ucapan takziah buat keluarga saudara Bill Kayong. Semoga keluarga mendiang terus sabar dalam menghadapi ujian dan dugaan yang amat mencabar ini,” ujarnya.

Bill meninggal dunia di tempat kejadian selepas dipercayai ditembak dari jarak dekat menembusi cermin kanan di sebelah pemandu kereta jenis Toyoto Hilux yang dinaikinya.

Bill Kayong bertanding di kerusi Bekenu pada pilihan raya 7 Mei lalu tetapi kalah kepada calon BN, Rosey Yunus.

Related Articles