Cadangan gantung sekolah setahun, jangan nafikan hak pendidikan kanak-kanak

Pakar undang-undang keluarga, wanita dan kanak-kanak dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Noor Aziah Mohd. Awal berkata, tindakan menggantung pelajar pembuli itu juga perlu dipastikan tidak bercanggah dengan sistem keadilan jenayah untuk pesalah kanak-kanak yang sedia ada.

“Walau apa pun yang terjadi atau apa sahaja kesalahan yang dilakukan, hak kanak-kanak iaitu mereka yang berusia 18 tahun ke bawah tidak boleh dinafikan hak mereka untuk mendapatkan pendidikan. Walau apa cara sekali pun atau apa sahaja kesalahan yang dilakukan.

“Kalau sekolah ambil keputusan lebih awal sebelum dibawa ke mahkamah, atau sekiranya sekolah hendak cuba uruskan sendiri dengan menggantung pelajar daripada belajar itu bermakna sekolah sendiri menafikan hak anak itu untuk belajar,” katanya ketika dihubungi di ibu negara hari ini.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid sebelum ini berkata, Kementerian Pendidikan mencadangkan agar pelajar sekolah rendah dan menengah yang membuli pelajar lain digantung persekolahan mereka selama setahun. – Bernama

Related Articles