Naib Ketuanya, Khairul Azwan Harun berkata ini bagi memastikan ianya tidak membebankan para usahawan, peniaga kecil atau orang perseorangan yang menggunakan medium dalam talian untuk menjana pendapatan.
Katanya pihak berkuasa juga perlu mengeluarkan definisi dan garis panduan yang lebih sempurna mengenai isu berkenaan.
“Cadangan bagi mengenakan cukai tersebut yang dibuat secara umum dan tidak jelas telah membuatkan rakyat berasa terkilan dan gelisah.
“Kami dapati wujud perbezaan yang ketara dalam tujuan dan jenis perniagaan, transaksi dan pemilikan perniagaan dalam talian mutakhir ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Khairul Azwan berkata demikian sebagai mengulas cadangan Kementerian Kewangan untuk mengenakan cukai ke atas perniagaan dalam talian bermula tahun depan, sejajar kepesatan perkembangan sektor berasaskan internet di negara ini.
Bagi memudahkan urusan kawal selia, Pemuda Umno menyarankan agar perniagaan dalam talian boleh dilesenkan oleh agensi lain seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia atau pihak berkuasa tempatan sebagai alternatif kepada pendaftaran perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) semata-mata.
“Pemuda merasakan ini penting kerana sekiranya syarat wajib dikenakan secara menyeluruh atau ‘blanket’ terhadap semua transaksi perniagaan dalam talian bagi mendaftarkan syarikat dengan SSM dan membayar cukai perniagaan maka ianya tidak adil kepada rakyat yang hanya berusaha bagi memperoleh pendapatan tambahan untuk menyara kehidupan diri dan ahli keluarga,” katanya. – Bernama