CAMERON HIGHLANDS: Tulip, bunga kebangsaan Turkiye dan Belanda, yang kini sedang mekar di Cameron Highlands, Pahang menarik pandangan sesiapa sahaja yang melihatnya.
Lebih unik, 2,500 kuntum bunga itu berkembang penuh iaitu lebih kembang daripada kebiasaannya kerana suhu panas tinggi di negara ini.
Pengurus Besar Stesen Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Cameron Highlands, Lokmanulhakim Basiron berkata, tahun ini merupakan tahun ketiga tulip ditanam di Taman Agroteknologi MARDI di sini dan tanaman itu terus menggamit kedatangan pengunjung yang mahu melihat bunga tersebut dari dekat.
“Tulip akan berbunga pada musim bunga dan mula mekar apabila cuaca panas. Tulip ini berasal dari Iran dan Turkiye tetapi teknologi pembiakan benih bunga ini diterajui oleh negara Belanda dan benih juga telah dieksport dari sana.
“Taman Agroteknologi MARDI Cameron Highlands telah mula menanam bunga tulip sebanyak 300 pokok bersempena program cuti sekolah di Laman Bunga Mini Cameron pada Februari 2022 dan pada Februari 2023 sebanyak 1,500 pokok ditanam, manakala tahun ini sebanyak 2,500 pokok pula ditanam,” katanya ketika ditemui Bernama di Taman Agroteknologi MARDI Cameron Highlands baru-baru ini.
Menurut Lokmanulhakim tulip berkembang secara berperingkat mengikut warna dalam tempoh lima hingga 10 hari di tanah yang panas seperti di Malaysia, berbanding dalam tempoh dua hingga tiga minggu mengikut cuaca ideal.
Beliau berkata suhu ideal untuk menanam tulip adalah di bawah 12 darjah Celsius dan bunga itu mempunyai had toleransi suhu sehingga 29 darjah Celsius.
“Beberapa darjah di bawah tahap ini akan memusnahkan tunas dan bunga tulip. Sekiranya suhu mencapai tahap pembekuan, keseluruhan tulip boleh rosak.
“Tulip lebih memerlukan cahaya matahari penuh pada waktu petang atau dengan matahari pagi sahaja, kerana tulip tidak sesuai dengan haba yang tinggi,” jelasnya.
Usai tempoh berbunga, batang dan daun tulip perlu dibiarkan reput secara semula jadi sehingga menjadi kuning atau coklat sebelum dikeluarkan dari tanah, katanya.
Beliau menjelaskan jika daun dikeluarkan semasa masih hijau, bebawang (benih) tidak dapat menyimpan makanan yang mencukupi untuk mekar.
Bebawang kemudian katanya dibersihkan dan disimpan dalam beg jaring di tempat kering dan sejuk serta terhindar daripada cahaya matahari.
“Bebawang tulip yang telah dibersihkan akan disimpan di dalam bilik sejuk selama tempoh 12 minggu sehingga enam bulan bagi tempoh dormansi (tempoh pertumbuhan tidak aktif) pada suhu di bawah 5 darjah Celcius.
“…dan kemudian akan dipindahkan ke medium bebola Leca (sejenis tanah liat khas) selama dua minggu untuk tujuan pengakaran pada suhu bilik, selepas itu, bebawang akan dimasukkan ke dalam medium tanah seperti peatgrow (lumut gambut) untuk membantu tumbesaran selama tiga hingga empat minggu sebelum dipindahkan ke tapak pameran,” jelasnya.
Lokmanulhakim berkata tahun ini jenis tulip yang ditanam ialah Rood (merah), Yellow Baby (kuning), Flair (campuran jingga), Roze (ungu cair), Paars (ungu gelap) dan Flaming Baby (campuran jingga, kuning dan merah).
Setiap warna katanya dikaitkan dengan maksud tertentu seperti Rood melambangkan cinta yang kuat dan Yellow Baby melambangkan persahabatan.
Mengulas mengenai program cuti sekolah di Taman Agroteknologi MARDI Cameron Highlands selain Pesta Tulip, beliau berkata pengunjung juga berpeluang melihat pelbagai tanaman buah Mediterranean seperti epal, pir, anggur dan strawberi, selain bunga-bungaan seperti keembong, camellia, dahlia, petunia, bunga bakung dan mawar.
Terletak pada ketinggian 1,400 meter dari aras laut dan bersuhu nyaman sepanjang tahun, taman itu katanya merupakan pusat perhentian pelancongan tanah tinggi yang strategik susulan berdekatan pekan Tanah Rata.
Turut menjadi tarikan ialah ladang teh tertua dan kilang teh pertama di Malaysia yang juga Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Pertanian Hijau.
Tiket masuk dijual hanya pada harga RM10 bagi dewasa, RM5 bagi kanak-kanak dan warga emas serta percuma untuk golongan Orang Kurang Upaya. – Bernama